Terkini
(VIDEO) Banjir, tanah runtuh di Sri Lanka – 40 maut, 425 rumah musnah, 1,800 keluarga hilang tempat tinggal
- Kebanyakan kematian berlaku di daerah penanaman teh pusat Badulla, di mana 21 orang tertimbus hidup-hidup apabila lereng gunung runtuh menimpa rumah mereka semalaman.
- Kehilangan nyawa akibat cuaca minggu ini adalah yang tertinggi sejak Jun tahun lalu yang mencatat 26 orang terbunuh akibat hujan lebat.
COLOMBO – Banjir dan tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat telah meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa dan mencederakan 10 orang di seluruh Sri Lanka minggu ini, dengan 21 lagi dilaporkan hilang, kata pihak berkuasa.
Kebanyakan kematian berlaku di daerah penanaman teh pusat Badulla, di mana 21 orang tertimbus hidup-hidup apabila lereng gunung runtuh menimpa rumah mereka semalaman, menurut kenyataan Pusat Pengurusan Bencana (DMC) pada hari Khamis yang dilaporkan TRT Global.
Empat lagi terbunuh dengan cara yang sama di daerah bersebelahan, Nuwara Eliya. Kematian yang selebihnya dilaporkan berlaku di tempat lain.
Lebih daripada 425 rumah rosak akibat tanah runtuh, dengan hampir 1,800 keluarga dipindahkan ke tempat perlindungan sementara.
Menurut DMC, paras sungai meningkat di seluruh Sri Lanka dan agensi itu memberi amaran kepada penduduk di kawasan rendah untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Kerajaan telah menggantung peperiksaan akhir tahun sekolah di seluruh negara selama dua hari disebabkan cuaca buruk ini.
Parlimen Sri Lanka menggantung perdebatan belanjawan supaya ahli dewan undangan negeri boleh kembali ke kawasan masing-masing untuk menangani kerosakan.
Lebih daripada 100 milimeter hujan dijangka turun di seluruh Sri Lanka, dengan beberapa kawasan di timur laut dijangka dibanjiri dengan 250 milimeter hujan pada hari Khamis.
Kehilangan nyawa akibat cuaca minggu ini adalah yang tertinggi sejak Jun tahun lalu yang mencatat 26 orang terbunuh akibat hujan lebat. Pada bulan Disember tahun sama, 17 orang terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh.
Banjir terburuk pada abad ini berlaku pada Jun 2003, apabila 254 orang terbunuh.
Sri Lanka bergantung kepada hujan monsun bermusim untuk pengairan dan hidroelektrik, tetapi pakar metereologi memberi amaran bahawa negara ini akan menghadapi banjir lebih kerap disebabkan krisis iklim. – The Merdeka Times