Connect with us

Terkini

(VIDEO) Tentera Zionis tembak mati dua rakyat Palestin walaupun sudah serah diri, Menteri Israel puji tindakan itu

Published

on

Foto: Tangkap layar klip video tersebut.
  • Video insiden yang dikongsi di media sosial menunjukkan dua lelaki keluar dari sebuah bangunan dengan tangan terangkat di atas kepala sebagai tanda menyerah diri. 
  • Kedua-dua lelaki itu kemudian dilihat berada di atas lantai di hadapan pintu masuk bangunan sebelum beberapa das tembakan kedengaran. 

JENIN – Hamas mengutuk pembunuhan kejam terhadap dua rakyat Palestin yang tidak bersenjata di Jenin oleh tentera Israel, walaupun mereka telah keluar dari bangunan tanpa menimbulkan sebarang ancaman.

Menurut kenyataan dikeluarkan gerakan itu yang dipetik Roya News, Hamas menegaskan tindakan tersebut “mendedahkan semula mentaliti jenayah yang menguasai tingkah laku pendudukan” dan “pengabaian sepenuhnya terhadap darah Palestin yang melanggar semua undang-undang dan norma kemanusiaan.”

Hamas menegaskan jenayah berkenaan bukanlah satu kejadian terpencil.

Sebaliknya, ia adalah “sambungan baru dalam jalan pemusnahan dan pembersihan sistematik” yang diterima pakai negara haram Palestin.

Video insiden yang dikongsi di media sosial menunjukkan dua lelaki keluar dari sebuah bangunan dengan tangan terangkat di atas kepala sebagai tanda menyerah diri. 

Mereka dikelilingi oleh individu yang kelihatan seperti tentera Israel.

Kedua-dua lelaki itu kemudian dilihat berada di atas lantai di hadapan pintu masuk bangunan sebelum beberapa das tembakan kedengaran. 

Sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka dapat dilihat terbaring di atas tanah.

Tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran pada hari Rabu di Tebing Barat, dengan pasukan Israel menggeledah “lebih 220 lokasi”, menyoal siasat puluhan orang dan menahan “beberapa individu yang dikehendaki”, menurut kenyataan Tentera Pertahanan Israel (IDF) terdahulu.

Menteri Keselamatan Israel yang berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir, memuji tentera dan polis Israel selepas insiden tersebut.

“Saya menyokong sepenuhnya polis sempadan dan tentera IDF yang menembak pengganas yang dikehendaki yang keluar dari sebuah bangunan di Jenin.

“Mereka bertindak tepat seperti yang diharapkan daripada mereka – pengganas mesti mati!” tulisnya di media sosial. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author