Connect with us

Terkini

Jadi ahli pertubuhan etnik haram, 16 lelaki Rohingya didenda

Published

on

Foto: 16 lelaki Rohingya termasuk seorang penterjemah profesional didenda antara RM2,000 hingga RM5,000 oleh Mahkamah Majistret.
  • Mereka didakwa menjadi Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Islam Untuk Kemajuan Rohingya Malaysia, yang merupakan pertubuhan menyalahi undang-undang.
  • Kesalahan itu dikesan melalui serbuan di Lorong Tingkat Ciku 5, Taman Ciku di sini pada kira-kira 3 petang 19 November lepas.
  • Mereka didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM15,000 atau kedua-duanya.

BUKIT MERTAJAM – Seramai 16 lelaki Rohingya termasuk seorang penterjemah profesional didenda antara RM2,000 hingga RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku menjadi anggota sebuah pertubuhan etnik yang ditubuhkan tanpa kebenaran.

Majistret Roshayati Radellah mengenakan denda RM2,000 atau penjara dua bulan terhadap Jaafar Ahmed Mohammad Shafi, 55, Mubarak Hussain Mohammad Islam, 40, Hamid Khan Kalamiah, 41, Mohamad Yunus Ismail Shorif, 34, Abu Siddiq Muhammad Husson, 41, Nur Hussain Abu Shama, 43, dan Syed Hussain Oli Ahmed, 51.

Di mahkamah berasingan, Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit mengenakan denda RM5,000 atau penjara enam bulan terhadap penterjemah Muhammad Islam Sultan Ahmad, 56, Mohd Islam Mir Ahmad, 54, Hamid Huson Ismail, 45, Nurul Amin Abdul Munaf, 45, Enamul Haque Mohammed Hussein, 43, Abdul Hamid Ahmad Husain, 29, Mohamad Nur Mustak Ahmad, 32, Abdul Kudus Daul Rahman, 42, dan Sayed Amin Ruhul Amin, 36.

Mereka didakwa menjadi Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Islam Untuk Kemajuan Rohingya Malaysia, yang merupakan pertubuhan menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu dikesan melalui serbuan di Lorong Tingkat Ciku 5, Taman Ciku di sini pada kira-kira 3 petang 19 November lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM15,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli dan Zulfadli Hassan mengendalikan kes itu manakala tujuh tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nursyafiqah Zainudin dan sembilan lagi oleh Y. Anbananthan.

Pada prosiding semalam, mahkamah mengingatkan semua tertuduh bahawa etnik Rohingya dibenarkan menetap di Malaysia atas dasar perikemanusiaan selepas diusir dari negara asal.

Justeru, mereka perlu menghormati undang-undang Malaysia dan hukuman yang dikenakan wajar dijadikan pengajaran bahawa sesebuah pertubuhan tidak boleh beroperasi tanpa kebenaran. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author