Connect with us

Terkini

BERSIH kesan 50 kesalahan rasuah, sogok pengundi pilihan raya Sabah

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.

  • Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu BERSIH, sebahagian besar kesalahan yang direkodkan melibatkan penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, termasuk bakul makanan, barangan dapur dan bentuk pemberian lain seperti program isi minyak motor percuma, yang jelas digunakan untuk mempengaruhi undi pengundi secara rasuah dan penyogokan.
  • “Walaupun sering dibalut sebagai “bantuan” atau “inisiatif kebajikan”, pemberian seperti ini semasa tempoh kempen adalah satu bentuk penganuan yang melunturkan integriti pilihan raya,” jelas kenyataan itu.
  • Lebih membimbangkan, BERSIH mendapai banyak laporan mengenai penggunaan jentera kerajaan negeri dan Persekutuan bagi tujuan politik, termasuk pengagihan bantuan melalui agensi kerajaan, penyerahan geran tanah kepada rakyat oleh calon-calon daripada parti kerajaan negeri, pengumuman peruntukan dan penggunaan program rasmi kerajaan untuk menonjolkan calon tertentu.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendapati hampir 50 insiden yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan pilihan raya direkodkan setakat ini sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Sabah yang sedang berlangsung, termasuk pemberian hadiah, bantuan serta cubaan untuk membeli undi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu BERSIH, sebahagian besar kesalahan yang direkodkan melibatkan penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, termasuk bakul makanan, barangan dapur dan bentuk pemberian lain seperti program isi minyak motor percuma, yang jelas digunakan untuk mempengaruhi undi pengundi secara rasuah dan penyogokan.

Foto: Tangkap layar Kenyataan Media Bersih.

“Walaupun sering dibalut sebagai “bantuan” atau “inisiatif kebajikan”, pemberian seperti ini semasa tempoh kempen adalah satu bentuk penganuan yang melunturkan integriti pilihan raya,” jelas kenyataan itu.

Lebih membimbangkan, terdapat banyak laporan mengenai penggunaan jentera kerajaan negeri dan Persekutuan bagi tujuan politik, termasuk pengagihan bantuan melalui agensi kerajaan, penyerahan geran tanah kepada rakyat oleh calon-calon daripada parti kerajaan negeri, pengumuman peruntukan dan penggunaan program rasmi kerajaan untuk menonjolkan calon tertentu.

“Tindakan ini bukan sahaja memberi kelebihan tidak adil kepada pihak pemerintah, tetapi turut mengaburkan garisan penting antara urusan kerajaan dan kempen parti,” jelas kenyataan itu.

BERSIH turut mendedahkan terdapat beberapa laporan cubaan membeli undi secara langsung, sama ada dalam bentuk wang tunai atau tawaran imbuhan tertentu sebagai balasan kepada sokongan politik.

Pertubuhan itu menegaskan amalan berkenaan adalah pelanggaran serius undang-undang pilihan raya dan menghina maruah pengundi yang berhak membuat pilihan secara bebas tanpa sogokan.

“BERSIH ingin mengingatkan kepada semua parti politik dan para pengundi bahawa pemberian wang dengan tujuan untuk mempengaruhi undi adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Penyogokan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Malah penjamuan dan pemberian barangan bernilai juga boleh disabitkan kesalahan di bawah Bahagian III Seksyen 8 Penjamuan Akta Kesalahan Pilihan Raya. Sekiranya didapati bersalah, pelaku boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak melebihi RM5,000,” tegas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, BERSIH menuntut agar politik wang dan penyalahgunaan sumber kerajaan dibanteras secara tegas, selain menggesa kerajaan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya serta memberi kuasa kompaun kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengambil tindakan segera.

Dalam pada itu, BERSIH memohon kepada pengundi Sabah agar tidak termakan dengan slogan ‘duit terima tetapi tidak semestinya undi pihak yang memberi’.

“Kami mengajak rakyat Sabah untuk mengubah budaya politik ini dengan menolak 100 peratus politik wang dan salah guna kuasa dalam pilihan raya.

“Sabah tidak boleh lagi membiarkan duit dan habuan sementara mengaburi pengundi, kerana masa depan politik negeri bergantung kepada pemimpin yang bertanggungjawab dan mampu memastikan kesejahteraan jangka panjang rakyat.

“Politik yang hanya melihat undi sebagai transaksi untuk mendapatkan habuan tetapi gagal dalam tugasan hakiki akan terus merosakkan impian rakyat Sabah,” jelas kenyataan itu.

BERSIH juga menggesa pengundi melaporkan sebarang salah laku pilihan raya melalui platform rasmi Pemantau BERSIH di pemantau.org.

Senarai penuh kejadian yang direkodkan boleh dirujuk di laman rasmi Pemantau BERSIH: pemantau.org/senarai-kesalahan-prn/. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author