Connect with us

Terkini

Isu Shamsul Iskandar: Ketua Pemuda PAS Kelantan kemuka 5 soalan bukti ketelusan, integriti kerajaan

Published

on

Foto: Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi
  • Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata integriti bukan sekadar teori yang menyedapkan kata ucapan tetapi perlu dizahirkan melalui tindakan tegas dan telus.
  • “Tindakan Setiausaha Politik ‘Paling’ Kanan PMX meletakkan jawatan semalam dilihat terburu-buru tanpa menafikan dakwaan yang dibuat secara serius.
  • “Tindakan ini pastinya membuka ruang tanggapan yang lebih besar untuk dibincangkan dan mengundang persoalan yang melibatkan bukan sahaja kerajaan atau lebih tepatnya Pejabat PMX serta integriti parti kerajaan yang memerintah,” katanya

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menegaskan tindakan meletakkan jawatan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri tidak harus menjadi alasan untuk menghentikan siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan pembayaran sebanyak RM600,000 oleh ahli perniagaan, Albert Tie.

Menurutnya, integriti bukan sekadar teori yang menyedapkan kata ucapan tetapi perlu dizahirkan melalui tindakan tegas dan telus, lebih-lebih lagi selepas dakwaan dibuat secara terperinci dan disertakan dengan resit bayaran.

“Tindakan Setiausaha Politik ‘Paling’ Kanan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) meletakkan jawatan semalam dilihat terburu-buru tanpa menafikan dakwaan yang dibuat secara serius.

“Tindakan ini pastinya membuka ruang tanggapan yang lebih besar untuk dibincangkan dan mengundang persoalan yang akan melibatkan bukan sahaja kerajaan atau lebih tepatnya Pejabat PMX serta integriti parti kerajaan yang memerintah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Pemuda PAS Kelantan

Mohd Firdaus turut mengemukakan lima persoalan yang menurutnya perlu dijawab bagi memastikan ketelusan dan integriti pentadbiran kerajaan dapat dipertahankan.

“Pertama, soalnya adakah benar wujud kesalahan sebagaimana yang didakwa?; Kedua, apakah wujud arahan sehingga sebegitu besar keberanian seorang Setiausaha Politik ‘Paling’ Kanan bertindak?.

“Ketiga, apakah kes Setiausaha Politik ‘Paling’ Kanan PMX ini satu-satunya kes melibatkan kerajaan Pakatan Harapan DAP-UMNO-PKR-PAN?; Keempat, adakah Shamsul Iskandar Akin adalah ‘black sheep’ yang menyelamatkan seseorang yang lain?

“Kelima, apakah dengan meletakkan jawatan akan menidakkan siasatan dilakukan terhadap pegawai kerajaan ini?” tegasnya.

Beliau menyifatkan persoalan itu sebagai satu bentuk “assignment” atau tugasan untuk membina pemikiran politik anak muda, khususnya di Kelantan.

“Saya juga percaya anak muda pasti mempunyai neraca pemikiran yang jelas dalam hal ini.

“Menyerahkan pentadbiran negara kepada suatu pakatan yang tidak boleh diharap adalah suatu kehancuran kepada masa depan negara,” jelasnya.

Mohd Firdaus turut menyeru anak muda Kelantan untuk hadir bersama beliau dan pimpinan Pemuda PAS Kelantan bagi membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.

“Siasatan perlu dilakukan waima musang telah menanggalkan pakaian berbulu ayamnya dan saya pasti musang berbulu ayam ini bukan seekor sahaja, tapi berekor-ekor. Kita buru semuanya untuk Malaysia yang lebih bersih.

“Saya juga percaya mesti ada dalangnya yang memberikan ‘ubat berani’ kepada tindakan sebesar ini kepada Setiausaha Politik ‘Paling’ Kanan kepada orang nombor satu negara.

“Jumpa di Balai Polis Kota Bharu, tarikh dan masa akan dimaklumkan nanti,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author