Connect with us

Terkini

Data 17,000 kes hamil luar nikah perlu dibentang ikut tahun, bukan terkumpul – WAFIQ

Published

on

Foto: Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar.
  • Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata angka terkumpul selama lima tahun itu tidak mencukupi untuk menggambarkan pola perubahan sama ada berlaku peningkatan, penurunan atau keadaan mendatar.
  • Prof. Rafidah turut menyarankan agar kerajaan meneliti data pendedahan remaja kepada perlakuan seks tanpa nikah, bukan hanya menumpukan kepada rekod kehamilan, merujuk dapatan yang pernah dilaporkan dalam Kaji Selidik Kesihatan Kebangsaan (National Health Survey) bagi tujuan pencegahan awal.

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar menegaskan bahawa data 17 000 kes kehamilan luar nikah yang dilaporkan Kementerian Wanita perlu dianalisis secara lebih terperinci mengikut tahun bagi melihat trend sebenar melibatkan remaja di Malaysia.

Beliau berkata angka terkumpul selama lima tahun itu tidak mencukupi untuk menggambarkan pola perubahan sama ada berlaku peningkatan, penurunan atau keadaan mendatar.

Malah, data menunjukkan lebih separuh kes melibatkan remaja bukan Melayu, dan golongan ini menurutnya wajar turut diberi perhatian sewajarnya.

“Lebih baik data dianalisis mengikut tahun supaya kita dapat melihat pola. Data juga menunjukkan lebih separuh bukan Melayu, maka mereka juga perlu diberi perhatian,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Prof. Rafidah turut menyarankan agar kerajaan meneliti data pendedahan remaja kepada perlakuan seks tanpa nikah, bukan hanya menumpukan kepada rekod kehamilan, merujuk dapatan yang pernah dilaporkan dalam Kaji Selidik Kesihatan Kebangsaan (National Health Survey) bagi tujuan pencegahan awal.

Menurutnya, pendekatan pencegahan perlu memberi penekanan kepada keupayaan remaja wanita berkata “tidak”, selain memastikan tindakan bersepadu turut dilaksanakan terhadap remaja lelaki.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena baharu seperti pornografi, sugar baby, OnlyFans dan akaun ‘dark side’ media sosial, yang menurutnya ramai ibu bapa tidak sedar atau tidak mampu mengikuti perkembangan dunia remaja hari ini.

“Oleh itu, kerajaan perlu ada polisi yang ampuh untuk membantu ibu bapa membendung media sosial yang merosakkan,” katanya sambil merujuk tindakan beberapa negara seperti Australia yang telah mengehadkan umur remaja untuk memiliki akaun media sosial tertentu sebagai contoh permulaan yang baik.

Prof. Rafidah turut menekankan bahawa remaja yang mengandung mempunyai risiko kesihatan lebih tinggi, terutamanya yang masih terlalu muda.

Ketiadaan suami memberi tekanan mental yang besar, sementara kajian menunjukkan ramai remaja yang mengandung di luar nikah tidak mendapatkan pemantauan awal daripada doktor.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author