Connect with us

Terkini

Revolusi pendidikan saranan Agong: Integrasikan dalam mata pelajaran sedia ada – Penganalisis

Published

on

Foto: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim
  • Prof. Dr. Amir Akramin Shafie daripada UIAM berkata perubahan itu tidak harus datang dalam bentuk subjek baharu, sebaliknya disatukan terus dalam mata pelajaran teras.
  • “Bagi melaksanakan “revolusi pendidikan” ini tanpa membebankan kurikulum yang sedia rumit, aspek nilai-nilai tersebut perlu diintegrasikan secara mendalam dan menyeluruh ke dalam mata pelajaran teras sedia ada.
  • Tambahnya, adalah perlu menggantikan ujian berorientasikan hafalan dengan penilaian holistik agar kecemerlangan perwatakan dan nilai kemanusiaan diiktiraf setara dengan pencapaian akademik.

KUALA LUMPUR – Seruan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, agar sistem pendidikan negara direvolusikan dengan memberi tumpuan kepada aspek kemanusiaan, moral, kawalan emosi dan kesedaran undang-undang dianggap sebagai gesaan penting yang perlu dilaksanakan secara bersepadu tanpa menambah beban kepada kurikulum sedia ada.

Pengarah Utama, Pejabat Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Amir Akramin Shafie berkata perubahan itu boleh disatukan terus dalam mata pelajaran teras.

“Bagi melaksanakan “revolusi pendidikan” ini tanpa membebankan kurikulum yang sedia rumit, aspek nilai-nilai tersebut perlu diintegrasikan secara mendalam dan menyeluruh ke dalam mata pelajaran teras sedia ada.

“Ia tidak perlu perlu untuk menjadi sebagai subjek tambahan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Beliau berkata, pendekatan itu memerlukan pelaburan besar dalam latihan guru serta penyusunan semula kurikulum bagi mengurangkan elemen hafalan dan memberi ruang kepada pembelajaran berasaskan projek serta aktiviti reflektif.

Aktiviti reflektif katanya mampu memupuk nilai kemanusiaan yang dianggap lebih praktikal daripada penggantian kurikulum secara total.

Beliau menegaskan Kementerian Pendidikan wajar menilai semula struktur kurikulum nasional.

“Penilaian semula perlu mengubah hasil pembelajaran teras daripada hanya mengukur pengetahuan faktual kepada menilai kebolehan pelajar bertindak dan berfikir secara etika dan matang emosi.

“Penekanan perlu dialihkan kepada Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) dan komponen perkhidmatan komuniti wajib untuk memupuk tanggungjawab sivik,” tegasnya.

Tambahnya, adalah perlu untuk menggantikan ujian berorientasikan hafalan dengan penilaian holistik agar kecemerlangan perwatakan dan nilai kemanusiaan diiktiraf setara dengan pencapaian akademik, sekali gus mencerminkan satu anjakan paradigma yang berani dalam sistem pendidikan negara.

Semalam media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan sistem pendidikan negara perlu melalui pembaharuan menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada aspek kemanusiaan, moral, kawalan emosi dan kesedaran undang-undang dalam kalangan pelajar.

Seri Paduka Baginda turut menarik perhatian bahawa beberapa insiden jenayah melibatkan pelajar dan siswazah sejak kebelakangan ini menimbulkan kerisauan mengenai tahap sahsiah, disiplin dan nilai agama mereka, sekali gus menjejaskan reputasi institusi pendidikan negara. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author