Connect with us

Terkini

BERSIH nafi dakwaan PM,  Aset kerajaan memang diguna sepanjang kempen Sabah

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • BERSIH menegaskan dakwaan kerajaan kononnya tiada aset kerajaan digunakan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Sabah bercanggah dengan pemerhatian mereka di lapangan.
  • “Kami mengambil maklum bahawa Perdana Menteri serta menteri kritikal seperti Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri perlu diiringi oleh pengiring atas dasar keselamatan. Namun ini tidak boleh menjadi cek kosong untuk mereka menggunakan jentera-jentera ini ke kempen-kempen pilihanraya,” jelas kenyataan tersebut.
  • BERSIH mencadangkan agar parti Perdana Menteri menanggung kos perjalanan acara parti, sebagaimana amalan terdahulu di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan bahawa dakwaan kerajaan kononnya tiada aset kerajaan digunakan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Sabah bercanggah dengan pemerhatian mereka di lapangan.

Menurut BERSIH, walaupun Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau dan para menteri hanya menggunakan kenderaan rasmi serta pengiring keselamatan untuk tujuan keselamatan dan urusan rasmi, pemerhatian organisasi itu mendapati wujud penggunaan aset kerajaan secara tidak langsung yang memberi kelebihan politik kepada pihak pemerintah semasa tempoh kempen berlangsung.

“Kami mengambil maklum bahawa Perdana Menteri serta menteri kritikal seperti Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri perlu diiringi oleh pengiring atas dasar keselamatan.

“Namun ini tidak boleh menjadi cek kosong untuk mereka menggunakan jentera-jentera ini ke kempen-kempen pilihan raya,” jelas kenyaan yang dikongsi dalam hantaran Facebook rasmi BERSIH.

BERSIH mencadangkan agar parti Perdana Menteri menanggung kos perjalanan acara parti, sebagaimana amalan terdahulu di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

BERSIH turut merujuk kepada penganjuran program kerajaan seperti Jualan Ehsan Rakyat di kawasan pilihan raya sepanjang kempen, yang menurut mereka memberi manfaat material kepada pengundi dan mencipta persepsi kelebihan tidak adil kepada parti pemerintah.

Program seperti ini, menurut BERSIH, jelas bertembung dengan dakwaan bahawa tiada aset atau program kerajaan digunakan.

“Beberapa pengumuman peruntukan juga dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Sabah, yang jelas mempunyai implikasi politik seperti pengumuman peruntukan RM 62.76 juta bagi pelaksanaan 18 projek infrastruktur di Tawau oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor ming pada 8 Oktober 2025.

“Amalan sebegini melemahkan prinsip gelanggang pilihan raya yang adil,” tegas kenyataan tersebut.

Selain merujuk amalan terbaik antarabangsa, termasuk Bangkok Declaration on Free and Fair Elections dan IPU Declaration, BERSIH menekankan bahawa pemisahan antara urusan kerajaan dan urusan parti adalah prinsip asas kepada pilihan raya bebas dan adil.

Pemisahan ini, menurut mereka, semakin kabur jika program kerajaan terus berjalan ketika tempoh kempen.

Sehubungan itu, BERSIH menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said, untuk segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya bagi memperkukuh garis panduan serta penguatkuasaan berkaitan penyalahgunaan aset kerajaan dalam kempen.

BERSIH turut mendesak kerajaan menghentikan semua program kerajaan yang memberi manfaat material kepada pengundi sepanjang tempoh kempen kecuali perkhidmatan kritikal.

Mereka menegaskan bahawa sebarang salah laku atau penyalahgunaan sumber kerajaan ketika berkempen boleh dilaporkan melalui portal pemantau.org untuk tindakan selanjutnya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author