Terkini
KPM peruntuk RM8 juta pasang CCTV di asrama dan sekolah terpilih
KPM peruntuk RM8 juta pasang CCTV di asrama dan sekolah terpilih
- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh KPM bagi memperkukuh keselamatan serta menangani isu disiplin murid serta memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga pendidikan.
- “KPM akan melaksanakan perluasan pemasangan CCTV ke asrama dan sekolah-sekolah secara berperingkat berdasarkan keperluan dan penilaian risiko dari semasa ke semasa dengan mengambil kira kemampuan kewangan, kesediaan infrastruktur serta tahap keberkesanan fasa pelaksanaan terdahulu,” katanya.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan keseluruhan 8 juta ringgit pada tahun 2025 untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 200 asrama serta sekolah terpilih di seluruh negara bagi mempertingkat keselamatan dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh KPM bagi memperkukuh keselamatan serta menangani isu disiplin murid serta memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga pendidikan.
“KPM akan melaksanakan perluasan pemasangan CCTV ke asrama dan sekolah-sekolah secara berperingkat berdasarkan keperluan dan penilaian risiko dari semasa ke semasa dengan mengambil kira kemampuan kewangan, kesediaan infrastruktur serta tahap keberkesanan fasa pelaksanaan terdahulu.
“Dengan pendekatan ini, KPM komited memastikan pemasangan CCTV bukan sekadar menambah bilangan kamera tetapi benar-benar berfungsi untuk meningkatkan tahap keselamatan murid, memperkukuh pengawasan, serta menanam keyakinan ibu bapa dan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara,” kata beliau dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan dan pelan menyeluruh dengan garis masa yang jelas untuk memastikan semua sekolah sama ada berasrama atau sekolah harian dilengkapi dengan CCTV bagi menangani isu disiplin, buli dan jenayah di sekolah.
Tambah Fadhlina, KPM sentiasa menekankan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid sebagai agenda utama pendidikan.
“Justeru pelaksanaan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) tidak dilihat sebagai langkah tunggal tetapi sebahagian daripada strategi berfasa dan berasaskan risiko untuk memperkukuh pengawasan serta pencegahan insiden buli dan salah laku,” ujarnya. – The Merdeka Times