Terkini
Skandal sijil kelahiran haram, MCA persoal mengapa suspek belum didakwa
- “Peguam bernama Ng pernah ditahan SPRM di bawah operasi Ops Birth, dan telah membuat pengakuan semasa siasatan, namun sehingga kini masih tidak dikenakan sebarang pertuduhan,” – Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung
- Saw mendakwa aduan yang diterima bukan hanya membabitkan salah laku individu terbabit, tetapi turut menamakan beberapa pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang didakwa bekerjasama dengan ejen luar untuk memalsukan dokumen, memanipulasi rekod kelahiran dan menjual status kewarganegaraan.
KUALA LUMPUR — Pemuda MCA hari ini mendakwa rangkaian pemalsuan sijil kelahiran dan permohonan kewarganegaraan secara haram yang pernah dibongkar sebelum ini kembali aktif, sekali gus menggesa kerajaan bertindak segera membanteras kegiatan yang disifatkan sebagai ancaman serius kepada kedaulatan negara.
Setiausaha Agungnya, Saw Yee Fung berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai operasi ejen berbayar yang didakwa memanipulasi data pendaftaran dan menjual status warganegara kepada individu tidak layak.
Menurut beliau, salah seorang individu yang pernah ditahan SPRM dalam operasi Ops Birth seorang peguam bernama Ng didakwa mengakui sebahagian perbuatannya ketika siasatan, namun sehingga kini tidak dikenakan sebarang pertuduhan.
Lebih membimbangkan, peguam tersebut kini dilaporkan mengendalikan firma baharu dan aktif di media sosial mempromosikan “video pendidikan” yang menawarkan khidmat permohonan kewarganegaraan sebagai laluan pintas.
Saw mendakwa aduan yang diterima bukan hanya membabitkan salah laku individu terbabit, tetapi turut menamakan beberapa pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang didakwa bekerjasama dengan ejen luar untuk memalsukan dokumen, memanipulasi rekod kelahiran dan menjual status kewarganegaraan.
Dakwanya, situasi itu berlaku sedangkan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang benar-benar memerlukan bantuan terus terpinggir.
Beliau turut mengemukakan beberapa persoalan kepada kerajaan, termasuk mengapa tiada perkembangan kes Ops Birth, mengapa individu yang pernah ditahan tidak didakwa, serta mengapa pegawai KDN yang dinamakan tidak dikenakan tindakan.
“Ini dwi darjat yang nyata, dan satu amaran mengenai kerosakan dalam sistem negara,” tegasnya.
Pemuda MCA turut menyorot nasib kanak-kanak tanpa kerakyatan yang didakwa terperangkap dalam sistem sehingga tidak dapat memperoleh surat beranak, tidak boleh bersekolah, dan gagal mendapatkan rawatan kesihatan. Saw berkata ramai dalam kalangan mereka lahir di Malaysia namun ditolak permohonan kerana ibu bapa miskin, kurang dokumen atau tidak mampu membayar khidmat guaman.
Sebaliknya, dakwa beliau, individu berkepentingan boleh mempercepatkan kelulusan melalui saluran kelabu dengan bayaran tinggi.
“Ini bukan lagi isu pentadbiran, tetapi krisis keselamatan politik, kerana negara digadai oleh pengkhianat, gunting dalam lipatan,” tegas Saw.
Beliau turut menegaskan bahawa firma guaman baharu milik peguam berkenaan dipercayai menawarkan pakej video permohonan kewarganegaraan dan menuntut bayaran lebih tinggi berbanding peguam lain. Dakwanya, taktik tersebut menghakis integriti sistem kewarganegaraan dan membuka ruang kepada unsur jenayah menyusup ke dalam negara.
Sehubungan itu, Pemuda MCA mengemukakan empat tuntutan rasmi kepada Kerajaan iaitu pendedahan laporan siasatan Ops Birth, semakan semula tindakan undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara, siasatan tatatertib Majlis Peguam ke atas peguam berkenaan termasuk pembekuan lesen, serta garis masa jelas penyelesaian kes kanak-kanak tanpa kerakyatan.
“Hari ini kami mengadakan sidang media kerana ini adalah krisis besar melibatkan keselamatan negara, integriti sistem dan kepercayaan rakyat.
“Kita tidak boleh membiarkan rangkaian pemalsuan dokumen kelahiran dan kewarganegaraan haram terus wujud, dan kita tidak boleh membiarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan terus hidup dalam kegelapan,” tambahnya. -The Merdeka Times