Terkini
Risiko pegangan bumiputera cair jika Sunway–IJM bergabung
- Sebelum ini, Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki, membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan penggabungan dua syarikat besar tempatan, Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad, yang menurutnya boleh menjejaskan kepentingan rakyat serta melemahkan pegangan institusi pelaburan awam dalam ekonomi negara.
- “Ya, secara asasnya hujah Afdlin bahawa penggabungan boleh mengurangkan (atau mencairkan) pegangan Bumiputera adalah munasabah dan perlu diambil serius. Tetapi ia bukan kepastian mutlak banyak bergantung kepada struktur penggabungan, perjanjian saham, dan syarat syarikat serta pemegang saham institusi,” Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr. Mohd Fairuz Abdul Razak
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr. Mohd Fairuz Abdul Razak, menyuarakan kebimbangan berhubung potensi risiko penyusutan pegangan Bumiputera dalam IJM Corporation sekiranya penggabungan dengan Sunway Group berlaku tanpa mekanisme kawal selia yang jelas dan ketat.
Beliau berkata berdasarkan laporan industri, IJM kini mempunyai pegangan besar institusi Bumiputera seperti KWSP (18.04%), PNB (14.55%) selain KWAP, Tabung Haji, Amanah Raya dan ASB.
Menurutnya, adalah logik dan munasabah bahawa struktur penggabungan melibatkan pertukaran saham, penerbitan saham baharu atau perubahan penguasaan boleh menyebabkan pencairan pegangan Bumiputera.
Sebelum ini, Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki, membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan penggabungan dua syarikat besar tempatan, Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad, yang menurutnya boleh menjejaskan kepentingan rakyat serta melemahkan pegangan institusi pelaburan awam dalam ekonomi negara.
“Ya, secara asasnya hujah Afdlin bahawa penggabungan boleh mengurangkan (atau mencairkan) pegangan Bumiputera adalah munasabah dan perlu diambil serius.
“Tetapi ia bukan kepastian mutlak banyak bergantung kepada struktur penggabungan, perjanjian saham, dan syarat syarikat serta pemegang saham institusi.,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada kedua-dua syarikat mengenai keputusan penggabungan atau struktur pemilikan yang bakal terbentuk.
Data yang tular juga bukan pengumuman korporat rasmi yang muktamad.
Dr. Mohd Fairuz turut memecahkan implikasi penggabungan kepada beberapa komponen utama, termasuk penyertaan kontraktor Bumiputera dalam ekosistem pembinaan.
Katanya, penguasaan entiti korporat yang terlalu besar boleh mengecilkan ruang kontraktor kecil dan vendor tempatan untuk bersaing. Hal ini kerana kuasa tawar-menawar beralih kepada syarikat dominan, sekali gus berisiko mengekang pembangunan sosioekonomi inklusif dalam sektor infrastruktur negara.
“Dari aspek sosioekonomi, apabila peluang ekonomi terkonsentrasi, maka cabang pembangunan inklusif (termasuk penyertaan Bumiputera) boleh terbantut seterusnya boleh memperlebar jurang ekonomi antara yang mempunyai akses kepada projek besar dan yang tidak,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa pemilikan institusi Bumiputera seperti KWSP dan PNB bukan sekadar pelaburan komersial, tetapi merupakan pegangan strategik yang memberi pulangan kepada rakyat melalui dividen.
Sekiranya pegangan ini mencair, ia boleh menjejaskan prinsip keadilan ekonomi serta melemahkan ‘kusyen kepentingan rakyat’ terhadap aset strategik negara. Kesan tersebut, tegasnya, perlu diteliti lebih mendalam kerana ia melibatkan keseimbangan antara keuntungan korporat dan kesejahteraan pemilik sebenar iaitu rakyat.
Antara risiko lain yang dibangkitkan ialah potensi monopoli atau konsolidasi berlebihan.
Jika entiti gabungan terlalu besar, persaingan pasaran boleh terjejas, memberi kesan kepada harga, peluang inovasi, margin pembekal kecil, dan keupayaan usaha kecil Bumiputera untuk berkembang. Dari perspektif percukaian, entiti dominan juga mungkin mempunyai ruang untuk melakukan perancangan cukai yang lebih agresif, sekali gus memberi kesan terhadap hasil negara dan pulangan kepada institusi pelaburan rakyat.
Dr. Mohd Fairuz menegaskan bahawa kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan kepentingan Bumiputera tidak terjejas.
“Kerajaan melalui agensinya seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan spt Kementerian Kewangan / Kementerian Pembangunan Usahawan perlu menilai impak dan implikasi penggabungan terhadap pemilikan institusi Bumiputera serta kesan terhadap persaingan.
“Boleh menetapkan syarat kelulusan seperti memastikan pegangan Bumiputera minimum dipertahankan, atau mewajibkan mekanisme penyerahan peluang kepada kontraktor Bumiputera,” jelas beliau.
Afdlin minggu lalu berkata, di sebalik bahasa korporat seperti “sinergi” dan angka berbilion ringgit, cadangan itu menimbulkan persoalan sama ada penggabungan tersebut benar-benar akan memberi manfaat kepada rakyat atau sekadar menguntungkan segelintir golongan maha kaya.
Menurutnya, isu ini bukan sekadar hal perniagaan, tetapi melibatkan masa depan ekonomi negara yang dibina atas dana rakyat.-The Merdeka Times