Terkini
Relevankah lagi PPD? – Dr. Anuar dedah suara hati guru
- “Macam-macam ketidak-puashatian guru timbul berkaitan PPD. Tak sesuai untuk saya tulis di sini. Hinggakan ada guru-guru yang mencadangkan PPD dibubarkan sahaja,” – Timbalan Pengarah (MINDA) UKM, Dr. Anuar Ahmad
- Beliau berkata perbincangan bersama guru, pengetua, kesatuan guru dan PIBG secara formal dan tidak formal menunjukkan satu mesej jelas, iaitu PPD kini dianggap titik lemah sistem pendidikan negara.
KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM, Dr. Anuar Ahmad, berkongsi pandangan tegas mengenai keperluan mendesak untuk mentransformasikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selepas pertemuannya dengan ramai guru yang meluahkan ketidakpuasan hati terhadap institusi tersebut.
Beliau berkata perbincangan bersama guru, pengetua, kesatuan guru dan PIBG secara formal dan tidak formal menunjukkan satu mesej jelas, iaitu PPD kini dianggap titik lemah sistem pendidikan negara.
“Saya boleh rumuskan hasil dari begitu banyak perkongsian khususnya bersama guru-guru, institusi PPD dilihat oleh para pendidik sebagai TITIK LEMAH kepada sistem pendidikan negara.
“Itu rumusan saya. Boleh sahaja kalau ada yang berbeza pandangan dengan saya,” jelas beliau di hantaran Facebook miliknya.
Menurut Dr. Anuar, pandangan itu bukan bersifat terpencil, tetapi muncul berulang-ulang dalam sesi libat urus yang dihadirinya.
Beliau menegaskan bahawa dalam setiap perbualan tentang usaha meningkatkan kualiti pendidikan, isu PPD pasti timbul. Banyak guru menyuarakan rasa tidak puas hati dengan fungsi dan peranan PPD, malah ada yang mencadangkan agar PPD dibubarkan sepenuhnya.
“Macam-macam ketidak-puashatian guru timbul berkaitan PPD. Tak sesuai untuk saya tulis di sini. Hinggakan ada guru-guru yang mencadangkan PPD dibubarkan sahaja,” kongsinya.
Beliau turut mengimbas kejadian pada tahun 2019, ketika Dr. Maszlee Malik menerajui Kementerian Pendidikan, cadangan untuk merombak PPD pernah dikemukakan namun ditangguhkan pada saat akhir.
Katanya, ini membuktikan isu berkaitan keberkesanan PPD telah lama berlegar dalam kalangan pendidik dan tidak boleh lagi dipandang ringan.
Dr. Anuar menegaskan bahawa PPD perlu menilai semula fungsinya agar selari dengan perubahan semasa, khususnya dalam era digital yang mempercepatkan urusan antara KPM dan sekolah tanpa perlu melalui PPD sebagai perantara.
“Di saat semakin ramai guru-guru di sekolah dilantik sebagai pakar bidang, guru cemerlang, memiliki kelulusan sarjana pendidikan dan PhD, era sekolah menagih kepakaran dan bimbingan dari pegawai PPD bukan lagi seperti dahulu,” tambah beliau.
Maka Dr Anuar melontar persoalan di saat sekolah kini memiliki kapasiti kepakaran dalaman yang kuat, adakah peranan tradisional PPD masih relevan?
“Di era kepelbagaian pendidikan semakin difahami oleh masyarakat, nyah pusat atau desentralisasi akan menjadi satu amalan pendidikan yang lebih berkesan.
“Relevankah lagi PPD jika masih kekal seperti dahulu?,” tegasnya. -The Merdeka Times