Terkini
“Ada tak tapisan?” – WAFIQ persoal Kementerian, RTM isu kartun diserap unsur LGBT
- Dalam kenyataannya kepada The Merdeka Times, Presiden i (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim secara tegas menyoal siapa sebenarnya yang menyemak kandungan kartun sebelum ia diluluskan untuk siaran.
- “Yang sebenarnya ada tak tapisan? Ada tak orang yang melakukan tugas mereka sebelum meluluskan sebarang kartun ….Kenapa pula kita, public, netizen yang berbincang soal animasi diserap unsur LGBT, tetapi Kementerian buat seolah-olah benda ini tak ada apa-apa dan tak akan terjadi di Malaysia?” tegasnya.
KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, mempersoalkan ketelusan dan keberkesanan mekanisme tapisan kerajaan terhadap kandungan kartun barat yang didakwa semakin sarat dengan unsur LGBT.
Dalam kenyataannya kepada The Merdeka Times, beliau secara tegas menyoal siapa sebenarnya yang menyemak kandungan kartun sebelum ia diluluskan untuk siaran, menyatakan bahawa masyarakat kini terpaksa mengupas isu yang sepatutnya ditangani oleh kementerian.
“Yang sebenarnya ada tak tapisan? Ada tak orang yang melakukan tugas mereka sebelum meluluskan sebarang kartun?” soal beliau.
Rafidah berkata pada suatu ketika dahulu, kartun dianggap kandungan “ringan” dan jarang diperiksa dengan teliti, namun keadaan kini berubah apabila semakin banyak animasi barat menampilkan mesej dan karakter yang berkait identiti gender.
“Kenapa pula kita, public, netizen yang berbincang soal animasi diserap unsur LGBT, tetapi Kementerian buat seolah-olah benda ini tak ada apa-apa dan tak akan terjadi di Malaysia?” tegasnya.
Rafidah menegaskan bahawa Kementerian Komunikasi dan RTM sepatutnya lebih peka serta memahami perubahan trend global, terutama apabila gergasi animasi seperti Disney dan Pixar semakin terbuka membawa naratif LGBT dalam karya mereka.
“Kerajaan harus one notch ahead daripada rakyat. Ini fenomena global yang memerlukan mekanisme penapisan yang lebih jelas dan ketat,” tambah beliau.
Beliau turut berterima kasih kepada seorang bapa yang mula-mula berkongsi isu ini di media sosial selepas menonton kartun ‘Santiago of the Seas’ terbitan RTM TV2 bersama anaknya.
Menurut Rafidah, kanak-kanak mudah membina kefahaman tentang struktur keluarga dan identiti melalui apa yang mereka lihat sejak kecil. Kandungan yang menonjolkan kekeliruan gender, katanya, memberi risiko normalisasi yang tidak disedari.
“Kita tidak mahu anak-anak menjadi mangsa ideologi gender dan keliru dengan struktur kekeluargaan yang bercanggah dengan fitrah,” jelas beliau dalam nada penuh kebimbangan.
Rafidah menegaskan bahawa kartun bukan lagi medium yang boleh dianggap selamat secara automatik, terutama apabila lebih banyak platform penstriman dan penyiaran mengambil kandungan antarabangsa tanpa penapisan terperinci.
Beliau menggesa kerajaan memperkukuh mekanisme tapisan bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang boleh mempengaruhi minda dan normalisasi sejak usia kecil.-The Merdeka Times