Terkini
Mahasiswa akui krisis kelaparan, Dakwa Dapur Siswa tidak dihebahkan
- Temu bual wartawan The Merdeka Times mendapati sebahagian pelajar berdepan kekangan makanan, malah ada yang mengakui terpaksa mencatu hidangan kerana harga makanan di kampus semakin tinggi.
- Pelajar turut menyatakan inisiatif bantuan makanan jarang kelihatan dan tidak dihebahkan oleh pihak berkaitan.
- Bagi pelajar yang tidak menerima PTPTN atau bantuan lain, beliau memperuntukkan bawah RM20 sehari untuk tiga waktu makan namun sering juga terpaksa tidak bersarapan demi menjimatkan kos.
KUALA LUMPUR – Di sebalik imej universiti yang sering dipersembahkan sebagai institusi berdaya saing, realiti di kampus-kampus memperlihatkan sisi berbeza.
Temu bual wartawan The Merdeka Times mendapati sebahagian pelajar berdepan kekangan makanan, malah ada yang mengakui terpaksa mencatu hidangan kerana harga makanan di kampus semakin tinggi.
Walaupun tidak sampai tahap tidak makan langsung, hampir semua pelajar yang ditemu bual menggambarkan kehidupan mereka sebagai “cukup-cukup makan”, dengan sebahagian besar mengakui melangkau sarapan, makan sekali sehari, atau menggabungkan dua hidangan demi berjimat.
Bagi Fiqa, 20, pelajar semester satu Fakulti Alam Bina, masalah kewangan untuk makan adalah hal yang berulang.
“Hari-hari rasa tak cukup,” katanya.
Walaupun menerima PTPTN, kos keenam-enam bulan tidak mencukupi. Keperluan fakulti seperti toolkit, kertas teknikal dan peralatan projek memaksa beliau menggunakan wang makan untuk bahan akademik.
Harga di medan selera disifatkan agak mahal, menyebabkan beliau biasa tidak mengambil sarapan, serta menggabungkan sarapan dengan makan tengah hari atau makan tengah hari dengan makan malam.
Beliau memperuntukkan hanya RM7–RM10 sehari untuk keseluruhan makanan harian. Fiqa juga mendakwa inisiatif seperti Dapur Siswa tidak dihebahkan secara meluas.
Bagi Nuzul, 22, pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik, duit makan “mencukupi sahaja”, namun PTPTN biasanya tidak bertahan hingga akhir semester, menyebabkan ibu bapa perlu menambah.
Namun jurusan beliau tidak memerlukan kos tambahan besar seperti fakulti lain.
Amir, 21 pula mengakui ada waktu duit makan tidak mencukupi, tetapi tidak sampai tahap ‘ikat perut’. Bagi beliau, cabaran utama ialah kos projek yang berubah-ubah.
“Kalau bulan itu kena beli barang mahal, kewangan makan pun akan terjejas.”
Dania dan Takifah, masing-masing 21 tahun, berkata mereka kadang-kadang kekurangan duit makan, tetapi ia lebih berkait pengurusan kewangan daripada faktor fakulti.
Mereka menegaskan bahawa universiti sangat besar dan memerlukan pengangkutan, yang menambah kos bulanan. Mereka turut menyatakan inisiatif bantuan makanan jarang kelihatan dan tidak dihebahkan oleh pihak berkaitan.
Bagi Syamina, 20, harga makanan yang tidak stabil di kafe universiti membuatkan bajetnya sering lari.
Tidak menerima PTPTN atau bantuan lain, beliau memperuntukkan bawah RM20 sehari untuk tiga waktu makan namun sering juga terpaksa tidak bersarapan demi menjimatkan kos.
“Kadang-kadang saya rasa saya sedang mengikat perut… agak bercatu bila makan,” katanya.
Walaupun mengetahui kewujudan Dapur Siswa, beliau tidak pergi kerana jumlah pelajar yang memerlukan dianggap “terlalu ramai”.
Arash, 19, berkata duit makan hanya kategori “cukup-cukup”.
Kadang kala beliau turut berdepan situasi ikat perut kerana harga makanan di medan atau kafe dianggap mahal.
“Biasanya saya akan skip sarapan untuk jimat.”
Beliau juga berkata tiada maklumat jelas mengenai inisiatif makanan kampus.
Alia dan Zulaikha, 20, berkata kewangan mereka cukup-cukup sahaja dengan bantuan bulanan ibu bapa.
Zulaikha bahkan mengakui:
“Kalau boleh makan sekali sehari je… saya tak ambil sarapan dan makan malam, hanya makan tengah hari untuk jimat.”
Mereka juga mendakwa tidak pernah melihat Dapur Siswa beroperasi kerana tanpa hebahan besar-besaran.
Krisis nyata di kampus: Pelajar catu makanan, inisiatif kampus tidak sampai
Hasil tinjauan The Merdeka Times menunjukkan beberapa pola jelas iaitu :
1. Ramai pelajar mencatu makanan
– Melangkau sarapan
– Makan sekali atau dua kali sehari
– Bajet RM7–RM10 untuk keseluruhan hari
2. Harga makanan kampus dianggap mahal
Terutamanya di medan selera dan kafe
3. Inisiatif bantuan makanan tidak sampai kepada pelajar
– Ramai tidak tahu kewujudan Dapur Siswa
– Hebahan dianggap terhad, tidak menyeluruh
3. Kos fakulti menekan bajet makan
– Fakulti Alam Bina & Kejuruteraan memerlukan kos projek tambahan
5. PTPTN tidak cukup, ibu bapa perlu tambah
– Hampir semua pelajar mengakui perkara sama
Krisis makanan dalam kalangan mahasiswa bukan lagi isu terpencil. Ia bukan soal tidak makan langsung, tetapi ketidakmampuan untuk makan dengan cukup, seimbang dan konsisten.
Dengan kos makanan meningkat, bantuan yang tidak sampai dan PTPTN yang tidak mencukupi, pelajar akhirnya terpaksa mencatu diri sendiri, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku di sebuah universiti.-The Merdeka Times