Terkini
Bukan ubat kerajaan tidak berkualiti, Pesakit tidak disiplin ambil rawatan – Prof Madya USIM
- “Persepsi ini selalunya datang daripada tanggapan bahawa ubat murah tidak berkualiti. Hakikatnya, harga ubat kerajaan lebih rendah kerana pembelian pukal bukan kerana ia kurang berkesan. Ubat generik yang digunakan juga setara keberkesanannya dengan ubat berjenama di sektor swasta,” – Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani.
- Beliau menjelaskan bahawa semua ubat digunakan di hospital kerajaan telah melalui proses penilaian ketat oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) dan terbukti selamat serta berkesan sebelum diluluskan untuk kegunaan pesakit.
KUALA LUMPUR — Persepsi bahawa ubat di hospital kerajaan kurang berkualiti atau kurang berkesan adalah tidak benar, tegas Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani.
Beliau menjelaskan bahawa semua ubat digunakan di hospital kerajaan telah melalui proses penilaian ketat oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) dan terbukti selamat serta berkesan sebelum diluluskan untuk kegunaan pesakit.
Menurutnya, isu yang sering timbul bukanlah kerana kualiti ubat, tetapi berpunca daripada faktor pesakit sendiri seperti tidak mengambil ubat secara konsisten, kurang memahami cara penggunaan, atau mudah terpengaruh dengan mitos kesihatan yang berleluasa di media sosial.
“Persepsi ini selalunya datang daripada tanggapan bahawa ubat murah tidak berkualiti. Hakikatnya, harga ubat kerajaan lebih rendah kerana pembelian pukal bukan kerana ia kurang berkesan.
“Ubat generik yang digunakan juga setara keberkesanannya dengan ubat berjenama di sektor swasta,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan beberapa langkah untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap ubat di hospital kerajaan, termasuk memperkukuh pendidikan kesihatan dan komunikasi risiko secara mudah serta jelas.
Katanya, doktor dan ahli farmasi perlu memberikan sesi kaunseling ringkas tetapi meyakinkan agar pesakit lebih faham keperluan mengambil ubat secara konsisten mengikut dos ditetapkan.
Beliau turut menggesa agar mitos berkaitan ubat yang disebarkan di media sosial dibetulkan secara aktif supaya tidak mengelirukan masyarakat dan menjejaskan rawatan pesakit.
Selain itu, perkongsian data kejayaan rawatan boleh membantu menunjukkan bukti keberkesanan ubat hospital awam, sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kesihatan negara.
Dr. Mohd Dzulkhairi menegaskan bahawa semua usaha ini penting untuk membina semula kepercayaan masyarakat terhadap ubat dan rawatan yang disediakan di hospital kerajaan.-The Merdeka Times