Terkini
Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
- “Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat,” katanya.
- Datuk Fadlun sebelum ini menyandang jawatan Presiden Perbadanan Putrajaya sejak tahun 2022.Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia.
KUALA LUMPUR – Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu menggantikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif yang kini dilantik Penasihat Hartanah PETRONAS berkuat kuasa 15 November ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.
“Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaliha turut mengucapkan penghargaan kepada Maimunah di atas kepimpinan dan sumbangan sepanjang perkhidmatannya serta jawatan baru yang disandang.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang telah banyak memperluas reputasi Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.
“Saya juga mengucapkan tahniah atas pelantikan terkini beliau sebagai Penasihat Hartanah PETRONAS dan percaya pengalaman luas beliau akan terus dimanfaatkan dalam menerajui agenda pembangunan strategik negara,” ujarnya.
Datuk Fadlun Mak Ujud berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
Sebelum pelantikan ini, beliau menyandang jawatan sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya sejak tahun 2022. Dalam tempoh tersebut, beliau telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian.
Datuk Fadlun juga merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia. Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh. – The Merdeka Times