Terkini
Dunia di ambang bencana kebuluran besar – FAO
- Laporan bersama dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Program Makanan Dunia (WFP) menyatakan, peperangan dan keganasan menjadi punca utama kepada krisis kekurangan makanan serius di kebanyakan negara berisiko tinggi.
- Antara negara paling terjejas termasuk Haiti, Mali, Palestin, Sudan Selatan, Sudan dan Yaman, dengan penduduknya kini berdepan ancaman kebuluran besar-besaran dalam masa terdekat.
- Negara lain yang turut berada pada tahap kebimbangan tinggi ialah Afghanistan, Republik Demokratik Congo, Myanmar, Nigeria, Somalia dan Syria, manakala Burkina Faso, Chad, Kenya serta pelarian Rohingya di Bangladesh turut disenaraikan dalam kategori berisiko.
ROME – Dua agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa berjuta-juta penduduk di seluruh dunia kini berisiko tinggi berdepan kebuluran, berikutan kekurangan dana yang semakin meruncing untuk operasi bantuan kemanusiaan.
Laporan bersama dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Program Makanan Dunia (WFP) menyatakan, peperangan dan keganasan menjadi punca utama kepada krisis kekurangan makanan serius di kebanyakan negara berisiko tinggi.
Antara negara paling terjejas termasuk Haiti, Mali, Palestin, Sudan Selatan, Sudan dan Yaman, dengan penduduknya kini berdepan ancaman kebuluran besar-besaran dalam masa terdekat.
Negara lain yang turut berada pada tahap kebimbangan tinggi ialah Afghanistan, Republik Demokratik Congo, Myanmar, Nigeria, Somalia dan Syria, manakala Burkina Faso, Chad, Kenya serta pelarian Rohingya di Bangladesh turut disenaraikan dalam kategori berisiko.
Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain, berkata dunia kini berada di ambang satu bencana kebuluran besar yang sebenarnya masih boleh dielakkan jika tindakan segera diambil.
“Kegagalan bertindak segera hanya akan membawa kepada lebih banyak ketidakstabilan, penghijrahan serta konflik,” katanya.
Menurut laporan itu, kekurangan dana menjadi cabaran utama dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas. Setakat ini, hanya AS$10.5 bilion (RM43.3 bilion) berjaya dikumpulkan daripada jumlah keseluruhan AS$29 bilion (RM119.5 bilion) yang diperlukan untuk membantu mereka yang berisiko.
Disebabkan kekangan kewangan tersebut, WFP terpaksa mengurangkan bantuan kepada pelarian dan mangsa perpindahan, selain menghentikan program makanan sekolah di beberapa negara.
FAO pula memberi amaran bahawa usaha melindungi sektor pertanian turut terjejas, sedangkan sektor itu amat penting untuk menstabilkan bekalan makanan global serta mengelak krisis berulang.
Agensi itu menegaskan bahawa dana tambahan amat diperlukan bagi menyediakan benih dan rawatan kesihatan ternakan, sebelum musim menanam bermula atau berlaku kejutan baharu yang boleh memburukkan keadaan. – The Merdeka Times