Connect with us

Terkini

Kedah mungkin ada ruang tuntut Seberang Perai, bukan keseluruhan Pulau Pinang – Persatuan Sejarah Malaysia  

Published

on

Foto: Exco Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Mohd Herman Roslan
  • Exco Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Mohd Herman Roslan berpandangan bahawa isu pajakan tidak boleh diselesaikan secara unilateral oleh Kedah mahupun Pulau Pinang, kerana ia tertakluk kepada keputusan dan komitmen kerajaan pusat yang mewarisi tanggungjawab British selepas kemerdekaan.
  • Beliau akui usaha Kedah untuk menuntut semula Pulau Pinang adalah sukar kerana Pulau Pinang kini mempunyai sistem pentadbiran berdaulat dan diiktiraf sebagai negeri penuh sejak tahun 1963.
  • “Secara realistik, peluang Kedah untuk menuntut Pulau Pinang sangat tipis, tetapi mungkin ada ruang sekiranya Kedah menuntut semula Seberang Perai. Namun ia tetap memerlukan proses kajian sejarah dan undang-undang yang panjang serta berhati-hati,” katanya.

 

ALOR SETAR – Isu pajakan Pulau Pinang antara Kedah dan Kerajaan Persekutuan bukan sekadar perbahasan politik semasa, tetapi berpunca daripada akar sejarah dan perundangan yang panjang sejak lebih dua abad lalu, menurut Exco Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Mohd Herman Roslan.

Beliau menjelaskan bahawa perjanjian pajakan pertama dibuat pada tahun 1791 antara Kerajaan Kedah dan British, dan perjanjian itu berterusan sehingga pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 serta kemudiannya Perlembagaan 1957, yang meletakkan tanggungjawab pelaksanaan perjanjian tersebut di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Perjanjian 1791 diteruskan dalam perjanjian 1948 dan seterusnya dibawa ke era perlembagaan 1956 hingga 1957. Dalam perlembagaan, jelas disebut bahawa semua perjanjian antara British dan negeri-negeri Melayu akan diteruskan oleh kerajaan baharu. Maka, beban pajakan ini kini berada di bawah tanggungjawab Persekutuan,” katanya kepada The Merdeka Times hari ini.

Mohd Herman berpandangan bahawa isu pajakan tidak boleh diselesaikan secara unilateral oleh Kedah mahupun Pulau Pinang, kerana ia tertakluk kepada keputusan dan komitmen kerajaan pusat yang mewarisi tanggungjawab British selepas kemerdekaan.

Katanya, tafsiran masyarakat terhadap isu ini berbeza mengikut perspektif, ada yang menilai dari sudut sejarah, ada dari sudut politik, dan ada juga berdasarkan keadaan semasa. Namun, beliau menegaskan bahawa fokus sebenar bukanlah menuntut pemilikan Pulau Pinang, tetapi menilai semula nilai pajakan yang dibayar kepada Kedah agar lebih munasabah dan adil.

“Setahu saya, kerajaan Kedah bukan menuntut Pulau Pinang, tetapi menuntut semakan kadar pajakan daripada RM10 juta kepada RM100 juta,” jelasnya.

Mohd Herman turut mengingatkan bahawa isu ini telah lama dibangkitkan, termasuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah sejak tahun 1976 oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau turut menekankan bahawa sistem pendidikan negara wajar memperbetulkan kefahaman sejarah Pulau Pinang agar generasi muda memahami bahawa pulau itu pada asalnya merupakan sebahagian daripada wilayah Kedah sebelum perjanjian pajakan dibuat oleh British.

“Kerajaan Persekutuan perlu mendidik masyarakat berdasarkan fakta sejarah sebenar bahawa Pulau Pinang pernah menjadi wilayah Kedah, dan memahami implikasi perjanjian 1948 serta 1956 yang meletakkan beban tanggungan di bawah Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui usaha Kedah untuk menuntut semula Pulau Pinang adalah sukar kerana Pulau Pinang kini mempunyai sistem pentadbiran berdaulat dan diiktiraf sebagai negeri penuh sejak tahun 1963.

“Secara realistik, peluang Kedah untuk menuntut Pulau Pinang sangat tipis, tetapi mungkin ada ruang sekiranya Kedah menuntut semula Seberang Perai. Namun ia tetap memerlukan proses kajian sejarah dan undang-undang yang panjang serta berhati-hati,” katanya.

Mohd Herman mengingatkan bahawa pelbagai perjanjian antara Kedah, British dan Siam dari tahun 1791 hingga 1965 perlu dikaji semula dengan mendalam oleh pakar sejarah dan perundangan sebelum sebarang tindakan diambil, bagi memastikan tuntutan yang dikemukakan berasaskan fakta kukuh, bukan emosi politik.-The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author