Terkini
Malaysia hadapi krisis intelektual yang membimbangkan – Ahli Parlimen DAP
- Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menzahirkan kebimbangan terhadap krisis intelektual yang didakwa semakin meruncing di Malaysia, susulan pendedahan berhubung jurnal akademik tempatan yang merujuk laman berita satira sebagai sumber rujukan.
- “Apabila seorang profesor universiti mendakwa orang Melayu purba boleh terbang atau kononnya orang Rom belajar membuat kapal daripada kita, ia mungkin kedengaran lucu sehingga kita sedar bahawa ini bukan parodi internet, tetapi simptom kepada penyakit nasional,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
- Menurut Syerleena, isu tersebut bukan semata-mata tentang seorang profesor atau satu kajian yang lemah, tetapi mencerminkan sistem yang semakin kehilangan nilai kebenaran, ketelitian dan integriti.
Pulau Pinang – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menzahirkan kebimbangan terhadap krisis intelektual yang didakwa semakin meruncing di Malaysia, susulan pendedahan berhubung jurnal akademik tempatan yang merujuk laman berita satira sebagai sumber rujukan.
Beliau berkata, fenomena itu mencerminkan kemerosotan budaya kecemerlangan akademik di institusi pengajian tinggi negara yang sepatutnya menjadi benteng utama melahirkan pemikir berwibawa dan berintegriti.
“Apabila seorang profesor universiti mendakwa orang Melayu purba boleh terbang atau kononnya orang Rom belajar membuat kapal daripada kita, ia mungkin kedengaran lucu sehingga kita sedar bahawa ini bukan parodi internet, tetapi simptom kepada penyakit nasional,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Menurut Syerleena, isu tersebut bukan semata-mata tentang seorang profesor atau satu kajian yang lemah, tetapi mencerminkan sistem yang semakin kehilangan nilai kebenaran, ketelitian dan integriti.
Katanya, budaya intelektual yang sepatutnya menegakkan kebenaran kini digantikan dengan sikap sambil lewa dan kejar gelaran semata-mata.
“Kita terlalu selesa dengan kemalasan intelektual apabila yang penting bukan lagi ketepatan fakta, tetapi sekadar diterbitkan; bukan lagi kekuatan hujah, tetapi status dan gelaran,” ujarnya.
Beliau menambah, universiti yang dahulunya menjadi pusat perdebatan dan inovasi kini berubah menjadi ruang gema yang takut untuk mempersoal atau mencabar idea.
Syerleena turut memberi amaran bahawa apabila wacana kritikal digantikan dengan kesetiaan membuta tuli, maka ilmu itu sendiri akan mati sedikit demi sedikit.
Katanya, anti-intelektualisme bukan sahaja membunuh semangat akademik, malah menjadikan masyarakat mudah dimanipulasi kerana gagal membezakan fakta dan fantasi.
“Bahaya sebenar bukan sekadar profesor yang salah, tetapi sebuah negara yang tidak lagi tahu membezakan antara kebenaran dan khayalan,” katanya.
Beliau menyeru agar keberanian, kejujuran dan akauntabiliti dipulihkan dalam sistem akademik negara, dengan memastikan semakan rakan sebaya (peer review) dijalankan secara tulen dan bukan sekadar formaliti.
“Kenaikan pangkat seharusnya berasaskan kualiti, bukan senioriti atau kepentingan politik. Kita perlu menghargai sarjana yang berani mencabar, bukan yang sekadar mengampu,” tegasnya.
Syerleena turut menekankan keperluan merevolusikan cara pendidikan disampaikan, dengan menumpukan kepada pembangunan kemahiran berfikir secara kritikal dan bukan hafalan semata-mata.
“Apabila kita membesarkan generasi yang hanya tahu mengulang tanpa berfikir, kita akan melahirkan warganegara yang mengikut tanpa memahami,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa sebelum Malaysia melaksanakan reformasi dalam politik, ekonomi atau tadbir urus, pembaharuan minda harus menjadi keutamaan.
“Malaysia dibina atas kepelbagaian dan kecemerlangan. Kita tidak boleh mengkhianati warisan itu dengan jalan pintas intelektual. Masa depan negara tidak akan ditentukan oleh slogan atau sentimen, tetapi oleh kekuatan idea,” katanya.
“Jika kita gagal memulihkan budaya ilmu dan kebenaran, maka anti-intelektualisme bukan sekadar memalukan kita, ia akan menghancurkan kita dari dalam,” tambahnya. -The Merdeka Times