Terkini
Telus tentang penangguhan pemilihan, Baru Amanah kekal dihormati – Penganalisis Politik
- “Amanah perlu telus menetapkan tempoh penangguhan agar tidak dilihat mengekang proses demokrasi dalaman dan kekal dihormati sebagai parti reformis,” – Penganalisis politik USM, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian
- Menurut beliau, walaupun penangguhan itu boleh dianggap langkah strategik bagi mengekalkan kestabilan dan menumpukan perhatian kepada pilihan raya akan datang, ia turut membawa risiko persepsi bahawa keputusan berkenaan bertujuan mengekalkan kuasa sedia ada dalam parti.
KUALA LUMPUR – Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, menegaskan bahawa Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu bersikap telus dalam menetapkan tempoh penangguhan pemilihan parti agar tidak menimbulkan persepsi mengekang proses demokrasi dalaman serta terus dihormati sebagai parti reformis.
“Amanah perlu telus menetapkan tempoh penangguhan agar tidak dilihat mengekang proses demokrasi dalaman dan kekal dihormati sebagai parti reformis,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times.
Menurut beliau, walaupun penangguhan itu boleh dianggap langkah strategik bagi mengekalkan kestabilan dan menumpukan perhatian kepada pilihan raya akan datang, ia turut membawa risiko persepsi bahawa keputusan berkenaan bertujuan mengekalkan kuasa sedia ada dalam parti.
“Rasional sebenar penangguhan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk kekalkan kestabilan dan fokus kepada pilihan raya akan datang, tetapi tidak dapat dielakkan wujud persepsi ia juga bertujuan mengekalkan kuasa sedia ada,” ujarnya.
Prof Sivamurugan menjelaskan bahawa keputusan menangguhkan pemilihan mungkin melambatkan peluang pembaharuan dalam parti, namun beliau memahami tindakan itu dibuat mengikut keperluan politik semasa.
“Strategi pucuk pimpinan Amanah mahu memastikan keputusan dibuat secara terkawal, sambil menilai suasana politik dan kesediaan parti sebelum menentukan tarikh pemilihan baharu,” jelas beliau.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa keputusan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi, sementara dari sudut luar, ia mungkin mencetus persepsi bahawa Amanah kurang komited terhadap reformasi dalaman.
“Dari sudut rakyat, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa parti kurang komited terhadap pembaharuan,” katanya.
Prof Sivamurugan menegaskan, dalam konteks parti yang mengangkat prinsip reformasi dan inklusif, ketelusan dan kejelasan tempoh penangguhan menjadi kunci untuk mengekalkan keyakinan ahli dan rakyat terhadap Amanah. -The Merdeka Times