Terkini
Pakar bedah UM dedah fenomena ‘Barcode’ di sekolah, Tanda luka emosi remaja
- Menurut Dr Wan Mohd Ruzaimie, gejala “barcode” ini dikesan apabila pelajar menoreh bahagian lengan sendiri dan merasa lega apabila melihat darah, seolah-olah satu ritual untuk meluahkan beban perasaan.
- Fenomena itu, katanya, banyak ditemui oleh petugas kesihatan sekolah dan pegawai kaunseling.
- “Budak-budak pandai sembunyi sekarang. Mereka tak lagi melukakan pergelangan tangan sebaliknya menyorokkan torehan di bahagian atas lengan, dari siku ke bahu,” katanya.
KUALA LUMPUR — Seorang pakar bedah pediatrik dari Universiti Malaya (UM), Dr Wan Mohd Ruzaimie, mendedahkan satu fenomena membimbangkan yang kini dikesan dalam kalangan pelajar sekolah iaitu perbuatan menoreh tangan sendiri, yang digelar sebagai “barcode”, sebagai cara untuk melepaskan tekanan emosi.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Wan Ruzaimie.
Dalam satu perkongsian di laman Facebook, beliau menceritakan pengalaman bertemu seorang ibu yang juga pegawai perubatan di klinik kesihatan.
Perbualan mereka membuka isu besar berkaitan tekanan emosi pelajar akibat masalah keluarga, rakan dan dunia dalam talian (online).
“Sekarang makin ramai budak datang dengan sakit perut, tapi semua keputusan normal. Bila diselidik, rupanya berpunca daripada tekanan emosi,” kata ibu tersebut kepada beliau.
Menurut Dr Wan, gejala “barcode” ini dikesan apabila pelajar menoreh bahagian lengan sendiri dan merasa lega apabila melihat darah, seolah-olah satu ritual untuk meluahkan beban perasaan.
Fenomena itu, katanya, banyak ditemui oleh petugas kesihatan sekolah dan pegawai kaunseling.
“Budak-budak pandai sembunyi sekarang. Mereka tak lagi melukakan pergelangan tangan sebaliknya menyorokkan torehan di bahagian atas lengan, dari siku ke bahu,” katanya.
Dr Wan turut berkongsi pengalamannya dua tahun lalu ketika membedah seorang pesakit berusia 13 tahun. Ketika prosedur pembedahan dijalankan, beliau mendapati puluhan torehan halus pada lengan pesakit, yang kemudiannya diketahui berpunca daripada buli siber dan tekanan di sekolah.
“Lukanya tidak pernah sampai ke klinik, kerana tiada siapa tahu dia terluka. Hari itu banjir air mata bila saya beritahu ibu bapanya,” katanya.
Sejak kejadian itu, Dr Wan mengubah pendekatan pemeriksaannya terhadap pesakit remaja iaitu tidak hanya fokus pada luka fizikal, tetapi turut memeriksa bahagian tangan yang sering menjadi tempat mereka menyembunyikan kesakitan emosi.
Beliau turut berkongsi pandangan bahawa dunia kanak-kanak dan remaja kini berubah drastik. Generasi baharu hidup dalam dunia yang serba pantas, namun ramai yang tidak sempat menyesuaikan diri dengan tekanan dan tuntutan sekeliling.
“Kadang-kadang kita kena rawat dengan telinga dulu, bukan stetoskop. Dan kadang, luka paling dalam adalah luka yang tak nampak,” katanya.
Dr Wan menegaskan bahawa peranan ibu bapa dan guru amat penting dalam mengenal pasti perubahan tingkah laku atau tanda tekanan emosi anak-anak.
“Periksa tangan anak-anakmu. Bukan untuk mencari luka, tapi untuk mencari ruang mereka meluah sebelum mereka mula melukakan diri sendiri,” pesan beliau.
Katanya lagi, tidak semua luka keluar darah, namun semua bentuk kesakitan memerlukan perhatian, kasih sayang dan masa untuk disembuhkan.-The Merdeka Times