Terkini
Kajian sejarah dan agama perlu berlandas fakta, Bukan hipotesis – Dr Rozaimi Ramle
- Rozaimi turut menegur trend mempertahankan dakwaan tanpa bukti kukuh dengan cara menggabungkan hujah-hujah kecil seperti jigsaw puzzle untuk dijadikan kesimpulan.
- Antara yang disentuh ialah hipotesis yang mendakwa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu.
- “Tidak boleh kita katakan bahawa Rom belajar daripada orang Melayu buat kapal hanya berdasarkan orang nusantara hebat dalam pembuatan kapal dan bahan-bahan di nusantara berkualiti. Ia dua perkara yang berbeza. Kita perlukan bukti atau hujah yang lebih kuat dan tepat untuk membuktikan dakwaan kita. Bukan seperti menyusun puzzle yang berselerak di atas lantai, lalu disusun mengikut apa yang kita rasa. Masyarakat perlu kritis dalam berfikir,” jelas beliau.
KUALA LUMPUR – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (Unisiraj), Dr. Rozaimi Ramle, menegaskan bahawa setiap kajian dalam bidang sejarah dan agama mesti berpaksikan fakta yang sahih, bukan hipotesis atau andaian tanpa bukti kukuh.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook bertajuk “Mengapa Bab Sejarah Penting dan Ada Kaitan Dengan Bidang Agama?”, beliau menjelaskan bahawa tidak semua perkara dalam hipotesis, karya atau kitab boleh diterima sebagai pegangan kerana setiap bidang ilmu mempunyai gred dan tahap kesahihan tersendiri.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr. Rozaimi Ramle.
“Penting untuk kita kritis dalam menerima sesuatu perkara. Dalam kajian hadis yang saya lakukan juga, antara ciri-ciri atau petanda sesuatu hadis itu palsu atau lemah ialah hadis itu bercanggah dengan fakta sejarah.
“Baca betul-betul, bercanggah dengan fakta sejarah, bukan dengan teori arau hipotesis Sejarah,” tegas beliau.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan tentang hadis yang menyebut Rasulullah SAW singgah di sebuah masjid di Kufah sewaktu peristiwa Israk Mikraj, sedangkan fakta sejarah menunjukkan bahawa ketika peristiwa itu berlaku, Kufah masih belum wujud dan hanya dibuka pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab selepas kewafatan Rasulullah.
Dr. Rozaimi turut menegur trend mempertahankan dakwaan tanpa bukti kukuh dengan cara menggabungkan hujah-hujah kecil seperti jigsaw puzzle untuk dijadikan kesimpulan.
Antara yang disentuh ialah hipotesis yang mendakwa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu.
“Tidak boleh kita katakan bahawa Rom belajar daripada orang Melayu buat kapal hanya berdasarkan orang nusantara hebat dalam pembuatan kapal dan bahan-bahan di nusantara berkualiti.
“Ia dua perkara yang berbeza. Kita perlukan bukti atau hujah yang lebih kuat dan tepat untuk membuktikan dakwaan kita.
“Bukan seperti menyusun puzzle yang berselerak di atas lantai, lalu disusun mengikut apa yang kita rasa. Masyarakat perlu kritis dalam berfikir,” jelas beliau.
Dalam penulisannya, Dr. Rozaimi turut mengaitkan kecenderungan menyusun hujah secara longgar ini dengan cara musuh Islam menuduh Rasulullah SAW meniru kitab terdahulu dalam menulis al-Quran.
Beliau menjelaskan, dakwaan itu timbul apabila ada pihak menyesuaikan kisah pertemuan Rasulullah dengan seorang rahib Nasrani bernama Buhaira di Syam sebagai bukti kononnya baginda belajar ajaran terdahulu.
Namun, katanya, hujah tersebut batil kerana peristiwa itu tidak membuktikan Rasulullah mempelajari kitab lain, sebaliknya hanyalah dakwaan tanpa asas.
Dr. Rozaimi turut menolak naratif yang mendakwa Saidatina Khadijah berasal dari alam Melayu, kerana nasab beliau dan Rasulullah bertemu pada moyang mereka bernama Qusai.
“Jika kita terima hipotesis Khadijah dari alam Melayu, ia akan ada kaitan dengan Rasulullah sendiri. Adakah kita hendak kata baginda juga dari alam Melayu? Jangan begitu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sejarah merupakan aspek penting dalam pembentukan jati diri dan kemajuan bangsa, dan setiap disiplin ilmu perlu dihormati serta difahami dengan mendalam.
“Benar Melayu adalah bangsa hebat, tetapi kita tidak perlukan sesuatu yang belum pasti benar untuk mengangkat martabat bangsa kita,” katanya. -The Merdeka Times