Terkini
‘Co-teaching’ mungkin berjaya di luar negara, tapi belum tentu berkesan di Malaysia – Dr. Anuar Ahmad
- Timbalan Pengarah MINDA UKM, Dr. Anuar Ahmad, berkata jumlah pelajar yang ramai menjadikan kelas bertambah sempit apabila dua guru ditempatkan serentak, sekaligus berlakunya pergerakan guru terhad serta suasana kelas yang bising.
- “Di luar negara, satu kelas hanya ada sekitar 25 pelajar, jadi guru mudah bergerak dari meja ke meja. Sedangkan di sini, satu kelas boleh mencecah 45 orang di mana ruang sempit serta pergerakan terbatas.
- “Bayangkan, guru yang mengajar di hadapan bercakap kuat sebab pelajar ramai, cikgu kedua pula mahu bercakap dengan Kumpulan kecil, namun suara guru pertama menganggu. Akhirnya kelas jadi makin bising,” katanya.
KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tumpuan terhadap kelemahan infrastruktur sekolah serta meningkatkan kemahiran guru sebelum melaksanakan kaedah baharu co-teaching secara menyeluruh.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad, berkata pelaksanaan kaedah itu perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana faktor persekitaran sekolah di Malaysia berbeza dengan negara lain yang berjaya melaksanakannya.
“Co-teaching sememangnya boleh meningkatkan pencapaian murid. Dalam satu kelas, seorang guru mengajar manakala seorang lagi membantu pelajar yang ketinggalan supaya bimbingan dapat dibuat secara individu.
“Tapi di Malaysia, keadaan mungkin berbeza. Di luar negara, satu kelas hanya ada sekitar 25 pelajar, jadi guru mudah bergerak dari meja ke meja. Sedangkan di sini, satu kelas boleh mencecah 45 orang di mana ruang sempit serta pergerakan terbatas,” jelasnya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Katanya, jumlah pelajar yang ramai menjadikan kelas bertambah sempit apabila dua guru ditempatkan serentak, sekaligus menyebabkan berlakunya pergerakan guru yang terhad serta suasana kelas yang bising.
“Bayangkan, guru yang mengajar di hadapan bercakap kuat sebab pelajar ramai, cikgu kedua pula mahu bercakap dengan Kumpulan kecil, namun suara guru pertama menganggu. Akhirnya kelas jadi makin bising,” katanya.
Berdasarkan kenyataan KPM sebelum ini, kaedah baharu co-teaching atau pengajaran berpasukan yang melibatkan dua guru dalam satu kelas adalah pendekatan baharu yang bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Pendekatan itu bertujuan menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan sahsiah pelajar.
Dr. Anuar turut mencadangkan kerajaan menambah baik infrastruktur sekolah supaya pelaksanaan co-teaching benar-benar berkesan.
Dalam masa sama, beliau juga menegaskan pentingnya KPM memberi latihan intensif kepada guru bagi membiasakan mereka dengan pendekatan tersebut
“Selama ini, guru terbiasa mengajar seorang diri. Bila tiba-tiba perlu berkongsi kelas, ia satu cabaran baharu.
“Sebab itu tahun 2026 perlu digunakan untuk melatih guru-guruu agar mereka benar-benar mahir sebulum co-teaching dilaksanakan sebenuhnya pada 2027,” ujarnya. – The Merdeka times