Terkini
PAS pertimbang Himpunan Mega ‘Turun Anwar 2.0’ bantah perjanjian ART
- Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu memantau serius perkembangan berkaitan perjanjian ART 2025 yang kini mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk cendekiawan, ahli akademik dan pakar undang-undang.
- Antara langkah dipertimbangkan termasuk menggerakkan tindakan memfailkan semakan kehakiman (judicial review), mengadakan forum menghimpunkan tenaga profesional dan ahli akademik bagi membongkar implikasi perjanjian tersebut.
- “Menggerakkan Himpunan Mega ‘Turun Anwar 2.0’ sebagai suara rakyat mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sedang meneliti langkah untuk menggerakkan Himpunan Mega ‘Turun Anwar 2.0’ sebagai suara rakyat bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara, susulan bantahan terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) yang didakwa boleh menjejaskan kepentingan negara.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu memantau dengan serius perkembangan berkaitan perjanjian tersebut yang kini mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk cendekiawan, ahli akademik dan pakar undang-undang.
Menurutnya, PAS tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan beberapa langkah bagi memastikan tindakan yang dilihat sebagai menggadaikan kedaulatan negara melalui perjanjian berkenaan dapat dihentikan.
“Antara langkah yang dipertimbangkan ialah menggerakkan tindakan memfailkan semakan kehakiman (judicial review); mengadakan forum menghimpunkan tenaga profesional dan ahli akademik bagi membongkar implikasi perjanjian tersebut.
“Menggerakkan Himpunan Mega ‘Turun Anwar 2.0’ sebagai suara rakyat mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia bersama pertahankan maruah serta kedaulatan negara.
“PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia agar kekal peka dan bersama mempertahankan maruah serta kedaulatan negara daripada sebarang bentuk penjajahan ekonomi baharu yang terselindung di sebalik nama ‘perdagangan dan digitalisasi’,” tegasnya. – The Merdeka Times.