Terkini
Jeneral Thai tuduh Anwar Ibrahim “musuh dalam selimut” ASEAN
- Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mendakwa video tersebut menampilkan Jeneral A. Rangsi Kitiyansap, bekas Ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand yang telah melabel Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai musuh dalam selimut dan pengintip ASEAN.
- Menurut Rafique, kemarahan Jeneral Rangsi berpunca daripada dakwaan bahawa perjanjian damai itu membenarkan Amerika Syarikat memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.
- Rangsi juga melabel Anwar menggunakan situasi perjanjian tersebut untuk angkat diri Anwar sendiri,” katanya lagi.
- Dalam program sama, hos turut menyentuh peranan Trump dan Anwar Ibrahim, dan Rangsi menjawab bahawa Anwar ialah ‘sai suek dalam ASEAN’ yang bermaksud pengintip.
KUALA LUMPUR — Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mendakwa satu video dalam bahasa Thai yang tular sejak semalam telah melabel Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai musuh dalam selimut dan pengintip ASEAN.
Menurut Rafique, video tersebut menampilkan Jeneral A. Rangsi Kitiyansap, bekas Ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand.
Rakaman berkenaan disiarkan pada 3 November 2025 di stesen televisyen digital One31 di Thailand dengan durasi penuh 58 minit. Beliau berkata, perbincangan dalam program tersebut berkisar mengenai kontroversi perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja.
Menurut Rafique, kemarahan Jeneral Rangsi berpunca daripada dakwaan bahawa perjanjian damai itu membenarkan Amerika Syarikat memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.
Rafique menjelaskan bahawa Rangsi turut menyatakan perjanjian damai itu menggabungkan elemen cukai dagangan dan nadir bumi (REE) yang dianggap boleh memudaratkan ekonomi Thailand.
“Rangsi menyatakan bahawa perjanjian itu akan menyebabkan negaranya hilang hak nadir bumi yang dianggarkan bernilai 40 hingga 50 trilion baht,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Muhammad Rafique Rashid Ali.
Menurut Rafique, paling mengejutkan, Rangsi melabel Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN, sebagai pengkhianat dan musuh dalam selimut.
“Rangsi juga melabel Anwar menggunakan situasi perjanjian tersebut untuk angkat diri Anwar sendiri,” katanya lagi.
Dalam program sama, hos turut menyentuh peranan Trump dan Anwar Ibrahim, dan Rangsi menjawab bahawa Anwar ialah ‘sai suek dalam ASEAN’ yang bermaksud pengintip.
Rafique berkata, Rangsi turut menyelar tindakan Anwar yang didakwa mengambil kesempatan daripada konflik Thai–Kemboja untuk menyelitkan perjanjian dagang dan nadir bumi dengan Amerika.
Menurut Rafique, persengketaan Thailand dan Kemboja pada awalnya dirujuk ke Setiausaha Agung dan Majlis Keselamatan PBB untuk penyelesaian, namun kini telah menjadi mainan Amerika.
Beliau turut menulis bahawa Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump kini mengalihkan dasar daripada patron-clien kepada konsep dominasi dunia melalui perdagangan timbal balik (trade reciprocity).
“Amerika dan Trump tidak bodoh. Mereka melihat dunia telah menolak hegemoni kuasa. Banyak negara berdaulat kini sedar tentang kebebasan penuh,” katanya.
Menurut beliau, Trump tahu kelemahan Anwar ialah glitz, glamour, kamera, muzik, tarian, showmanship serta keperluan untuk diiktiraf.
“Sebab itu kita lihat ART 2025 US–Malaysia dan Perjanjian Damai Thai–Kemboja begitu tergesa-gesa,” katanya.
Rafique mendakwa Trump telah memperoleh boneka yang akan menari ikut rentaknya.
“Sai suek, musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, pengkhianat. Malaysia dan ASEAN perlu diselamatkan,” tulisnya menutup kenyataan.-The Merdeka Times