Connect with us

Terkini

Pulau Pinang disaran naikkan dana selenggara rumah ibadat bukan Islam 10% daripada bajet Islam – Lim Guan Eng

Published

on

Foto: Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng

 

  • Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan untuk meningkatkan peruntukan bagi tabung penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan Islam, bagi menunjukkan contoh kepimpinan yang inklusif dan seimbang.
  • “Jika peruntukan bagi Islam meningkat daripada RM1.5 bilion kepada RM2.6 bilion, maka peruntukan bagi agama bukan Islam juga wajar dinaikkan secara berkadar, bagi mencerminkan dasar pentadbiran yang inklusif dan seimbang,” – Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng

 

GEORGE TOWN – Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan untuk meningkatkan peruntukan bagi tabung penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan Islam, bagi menunjukkan contoh kepimpinan yang inklusif dan seimbang.

Beliau berkata langkah itu boleh menjadi teladan kepada Kerajaan Persekutuan agar mencontohi pendekatan yang lebih adil dalam pengagihan dana agama.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Lim Guan Eng.

“Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan pembangunan Islam daripada RM1.5 bilion dalam Belanjawan 2024 kepada RM2 bilion bagi 2025 dan RM2.6 bilion bagi 2026, manakala peruntukan untuk agama bukan Islam kekal RM50 juta tanpa peningkatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun Dewa Da Bo Gong di Empangan Ayer Itam.

Menurutnya, ini bermakna peruntukan bagi agama bukan Islam hanya bersamaan kira-kira 3 peratus daripada jumlah peruntukan untuk Islam, sedangkan Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja menjamin hak istimewa orang Melayu, tetapi juga melindungi hak sah masyarakat bukan bumiputera.

“Jika peruntukan bagi Islam meningkat daripada RM1.5 bilion kepada RM2.6 bilion, maka peruntukan bagi agama bukan Islam juga wajar dinaikkan secara berkadar, bagi mencerminkan dasar pentadbiran yang inklusif dan seimbang,” katanya.

Lim menegaskan, menaikkan kadar peruntukan kepada 10 peratus daripada jumlah bajet agama Islam adalah wajar dan akan menunjukkan semangat keterangkuman kerajaan negeri.

“Jika kerajaan negeri boleh menaikkan peruntukan kepada 10 peratus dan menjadi contoh, maka apabila kita menggesa Kerajaan Persekutuan berbuat demikian, suara kita akan lebih kuat,” tambahnya.

Beliau turut mengimbas bahawa semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, kerajaan negeri ketika itu telah menjadi negeri pertama memperuntukkan puluhan juta ringgit bagi menyokong rumah ibadat bukan Islam, termasuk menubuhkan Pusat Keharmonian Agama Pulau Pinang (Penang Harmony Centre), pusat pertama di Malaysia yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengurus hal ehwal agama bukan Islam.

“Itu langkah bersejarah, dan kami berharap semangat sebegitu dapat diteruskan,” katanya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author