Terkini
Guru tertekan isi PBD terlalu awal, dakwa PPD kejar ranking sekolah
- Guru berkenaan berkata, beliau dipaksa menyiapkan rekod PBD dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) lebih awal berbanding tarikh rasmi 28 November yang diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan, selepas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menetapkan tarikh baharu pada 5 November, lebih tiga minggu awal daripada jadual asal.
- “Pelajar baru sahaja selesai ujian minggu lepas, tapi kami diarahkan mengisi PBD dan UASA dengan segera kerana PPD mahu menyiapkannya sebelum 13 November. Saya tidak faham kenapa perlu ada ‘pertandingan’ siapa cepat siap isi sistem ini,” katanya.
KUALA LUMPUR – Seorang guru meluahkan rasa kecewa terhadap pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang disifatkan terlalu mendesak dan memberi tekanan kepada guru di peringkat sekolah, selepas diarahkan menyiapkan pengisian lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Rungutan itu dikongsi kepada Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, yang kemudian memuat naik kenyataan guru berkenaan di laman Facebooknya pagi tadi, sebagai usaha memberi ruang kepada guru meluahkan tekanan sebenar di lapangan.
Guru berkenaan berkata, beliau dipaksa menyiapkan rekod PBD dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) lebih awal berbanding tarikh rasmi 28 November yang diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan, selepas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menetapkan tarikh baharu pada 5 November, lebih tiga minggu awal daripada jadual asal.
“Pelajar baru sahaja selesai ujian minggu lepas, tapi kami diarahkan mengisi PBD dan UASA dengan segera kerana PPD mahu menyiapkannya sebelum 13 November. Saya tidak faham kenapa perlu ada ‘pertandingan’ siapa cepat siap isi sistem ini,” katanya.
Guru itu mendakwa, wujud budaya persaingan antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menyiapkan rekod lebih awal, hingga akhirnya membebankan guru di peringkat sekolah.
“Bila ada persaingan dan ranking antara PPD, yang jadi mangsanya ialah guru-guru. Kami terpaksa mengejar masa sedangkan pentaksiran baru sahaja selesai,” katanya lagi.
Beberapa guru lain di ruangan komen turut mengesahkan masalah sama, mendakwa tekanan itu berpunca daripada budaya ‘siapa cepat, dia hebat’ yang diamalkan di sesetengah peringkat pentadbiran pendidikan.
Seorang guru, Zai Hazreen, berkata setiap tahun grafik capaian PPD yang paling cepat siap akan disiarkan di laman rasmi JPN dan dijadikan bahan kebanggaan.

Foto: Tangkap layar ruangan komen hantaran Facebook Anuar Ahmad.
“JPN akan paparkan infografik PPD yang sudah selesai isi PBD, siap ucapan tahniah. PPD yang lambat pula rasa tertekan,” katanya.
Seorang lagi guru, Rohaiza, berpandangan sistem pengisian PBD sepatutnya dibuka sepanjang tahun, memandangkan pentaksiran dilakukan secara berterusan dan bukan seperti peperiksaan akhir tahun.

Foto: Tangkap layar ruangan komen hantaran Facebook Anuar Ahmad.
“Sepatutnya sistem dibuka sepanjang tahun sebab pentaksiran pun sepanjang tahun, bukan sekali gus seperti UASA,” katanya.
Sementara itu, Roshidah Abdullah pula berkata budaya ranking ini tidak pernah diperbetulkan kerana dianggap isu kecil di peringkat atasan.

Foto: Tangkap layar ruangan komen hantaran Facebook Anuar Ahmad.
“Tiada siapa ambil tindakan sebab bagi mereka ini hal kecil. Tapi hakikatnya guru-guru di bawah bersenkang mata menyiapkan data semata-mata untuk kejar ranking,” katanya. -The Merdeka Times