Terkini
Namewee akan ditahan bantu siasatan kematian pempengaruh Taiwan – Ketua Polis KL
- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan bahawa Namewee merupakan individu terakhir dilihat bersama mangsa, Hsien Yun Hsin, 31, sekitar jam 1.40 tengah hari di dalam bilik di Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay, sebelum penyanyi itu ditahan kerana memiliki dan menggunakan dadah.
- “Kes ini pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun selepas terdapat unsur mencurigakan, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki bunuh,” katanya.
KUALA LUMPUR – Penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, bakal ditahan polis dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan yang ditemui mati di sebuah hotel mewah di ibu negara pada 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan bahawa Namewee merupakan individu terakhir dilihat bersama mangsa, Hsien Yun Hsin, 31, sekitar jam 1.40 tengah hari di dalam bilik di Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay, sebelum penyanyi itu ditahan kerana memiliki dan menggunakan dadah.
“Kes ini pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun selepas terdapat unsur mencurigakan, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki bunuh,” katanya.
Fadil berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Pencegahan Jenayah anjuran bersama Institut Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan hari ini.
Menurut beliau, polis sedang meneliti semula semua pergerakan mangsa dan individu yang pernah bersamanya, termasuk Namewee, bagi menentukan sama ada beliau terlibat secara langsung atau sebaliknya.
“Kita akan kaji balik semua pergerakan mangsa dan suspek serta individu terakhir bersamanya dan dari situ kita akan dapat tentukan sama ada dia (Namewee) adalah suspek atau tidak.
“Setakat ini pihak polis sudah merakam keterangan kakitangan hotel dan pengawal keselamatan termasuk melihat pergerakannya dari lapangan terbang ke hotel,” jelasnya.
Fadil turut memaklumkan bahawa pihak polis kini menunggu laporan penuh bedah siasat dan toksikologi bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
“Mangsa tiba di Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pada 20 Oktober dan dijadualkan pulang ke Taiwan pada 24 Oktober,”katanya.
Dalam kejadian pada 22 Oktober lalu, mangsa Hsieh Yun Hsin, seorang pempengaruh media sosial dari Taiwan, ditemui terbaring dalam tab mandi di bilik hotel berkenaan.
Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Difahamkan, Namewee telah ditahan pada 22 Oktober lalu atas kesalahan memiliki dan menggunakan dadah, namun dibebaskan selepas mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Jalan Duta pada 24 Oktober.
Datuk Fadil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berprofil tinggi itu untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPK Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Setakat berita ini diterbitkan, Namewee masih belum ditahan semula oleh pihak polis.-The Merdeka Times