Connect with us

Terkini

MFW mohon maaf isu ‘Muslim Choice’, tegaskan semua ahli jawatankuasa beragama Islam

Published

on

Foto: Logo 'Muslim Choice'
  • Presiden MFW, Noorman Kamsani, menjelaskan bahawa Muslim Choice bukanlah badan pensijilan halal atau label pengiktirafan rasmi, sebaliknya hanya platform dalaman untuk menyimpan dan mengurus data ahli korporat serta ahli-ahli MFW.
  • Menjawab spekulasi yang tular di media sosial, Noorman menegaskan bahawa semua tujuh Ahli Jawatankuasa (AJK) MFW yang berdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) adalah beragama Islam.

 

SHAH ALAM – Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, berhubung kekeliruan yang timbul susulan penggunaan sistem dalaman organisasi dikenali sebagai Muslim Choice.

Presiden MFW, Noorman Kamsani, menjelaskan bahawa Muslim Choice bukanlah badan pensijilan halal atau label pengiktirafan rasmi, sebaliknya hanya platform dalaman untuk menyimpan dan mengurus data ahli korporat serta ahli-ahli MFW.

“Logo dan nama sistem tersebut hanyalah identiti dalaman dan tidak pernah diberikan kebenaran untuk digunakan oleh mana-mana ahli, syarikat atau produk. Kami kesal atas kekeliruan yang berlaku dan memohon maaf atas sebarang kegusaran yang timbul,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada Ahad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan bahawa penggunaan istilah Muslim Choice oleh MFW bukanlah suatu perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin Suhaimee, turut memberi amaran bahawa penggunaan istilah tersebut boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.

Menurut Noorman, pihaknya telah menghentikan penggunaan sistem tersebut serta-merta dan sedang menilai semula tatakelola organisasi agar sejajar dengan undang-undang serta garis panduan Jakim.

Beliau turut memaklumkan MFW bercadang mengadakan kunjungan hormat ke Jakim bagi mendapatkan khidmat nasihat lanjut dan menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Menjawab spekulasi yang tular di media sosial, Noorman menegaskan bahawa semua tujuh Ahli Jawatankuasa (AJK) MFW yang berdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) adalah beragama Islam.

MFW turut menegaskan bahawa notis pemberhentian operasi sistem berkenaan telah dikeluarkan kepada semua pegawai organisasi sejak Ogos tahun lalu selepas pertemuan rasmi dengan Jakim.

Pihaknya juga akan membuat laporan polis terhadap penyebaran kenyataan palsu di media sosial bagi melindungi integriti serta maruah pertubuhan.

“Tindakan ini bukan bertujuan menentang sesiapa, tetapi untuk mempertahankan kebenaran serta menegakkan keadilan,” jelas Noorman.

Dalam masa sama, beliau menegaskan MFW sejak awal penubuhannya berpegang pada visi membantu usahawan bukan Islam memahami dan mematuhi piawaian halal Jakim.

Setakat ini, MFW berjaya membantu seorang usahawan bukan Islam memperoleh pensijilan halal rasmi daripada Jakim melalui program bimbingan dan latihan bersama agensi berautoriti.

Noorman turut menjelaskan bahawa MFW aktif menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dalam penganjuran latihan asas halal di luar negara bagi memperkukuh agenda halal Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kami berharap penjelasan ini dapat memberi pencerahan kepada semua pihak. Perjuangan kami berpaksikan kejujuran, ilmu dan amanah demi memperkukuh agenda halal Malaysia,” katanya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author