Terkini
ART 2025 sarat jerangkap samar, Ancam kedaulatan Malaysia – Muhyiddin
- Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perjanjian tersebut sebagai “penuh dengan jerangkap samar dan bom jangka yang memudaratkan Malaysia di masa akan datang serta sarat dengan agenda penjajahan ekonomi”.
- “Ini bermakna sebahagian kuasa kita untuk mengawal sumber dan dasar nasional telah diserahkan kepada AS, satu bentuk penghapusan terhadap autonomi dasar Malaysia yang berdaulat dan merdeka,” tegasnya.
- Muhyiddin turut memberi amaran bahawa pelaksanaan perjanjian ini boleh mentransformasikan Malaysia menjadi negara proksi atau satelit Amerika Syarikat di Asia Tenggara, sekali gus menjejaskan dasar luar Malaysia yang berkecuali.
KUALA LUMPUR — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menzahirkan kebimbangan serius terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) yang dimeterai baru-baru ini, dengan mendakwa ia mengandungi pelbagai peruntukan yang boleh menjejaskan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Beliau menyifatkan perjanjian tersebut sebagai “penuh dengan jerangkap samar dan bom jangka yang memudaratkan Malaysia di masa akan datang serta sarat dengan agenda penjajahan ekonomi”.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, perjanjian yang diumumkan oleh Rumah Putih pada 26 Oktober lalu selepas ditandatangani sempena Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur, tidak seimbang dan berpotensi meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang merugikan.
“Perjanjian seperti ini tidak boleh disalahgunakan hingga mengancam kemerdekaan serta kedaulatan negara kecil dan membangun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Muhyiddin menjelaskan, beberapa artikel dalam perjanjian ART 2025 memberi kesan langsung terhadap dasar teknikal, ekonomi dan keselamatan negara, antaranya:
- Artikel 3.4: Melarang Malaysia mengenakan syarat pemindahan teknologi kepada pelabur AS serta mewajibkan penggunaan piawaian AS untuk produk farmaseutikal, makanan dan media tempatan.
- Artikel 5.1 hingga 5.3: Menuntut Malaysia akur terhadap sekatan ekonomi dan kawalan eksport yang ditetapkan AS terhadap negara ketiga.
- Annex III & IV: Memberi akses langsung kepada AS terhadap data kastam Malaysia, selain menuntut komitmen pelaburan dan pembelian besar-besaran oleh syarikat Malaysia di Amerika Syarikat.
Katanya, peruntukan-peruntukan tersebut boleh menyebabkan Malaysia kehilangan autonomi dalam menentukan dasar perdagangan, kawalan sumber strategik termasuk unsur nadir bumi (REE), dan arah pelaburan negara.
“Ini bermakna sebahagian kuasa kita untuk mengawal sumber dan dasar nasional telah diserahkan kepada AS, satu bentuk penghapusan terhadap autonomi dasar Malaysia yang berdaulat dan merdeka,” tegasnya.
Muhyiddin turut memberi amaran bahawa pelaksanaan perjanjian ini boleh mentransformasikan Malaysia menjadi negara proksi atau satelit Amerika Syarikat di Asia Tenggara, sekali gus menjejaskan dasar luar Malaysia yang berkecuali.
“Perjanjian ini menggadaikan kedaulatan negara dan menodai dasar luar Malaysia yang bebas daripada kongkongan kuasa asing,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan agar mengkaji semula keseluruhan perjanjian tersebut secara menyeluruh dan telus, melibatkan semua pemegang taruh termasuk Ahli Parlimen dan pakar ekonomi tempatan.
“Kajian semula mesti dilaksanakan segera sebelum tamat tempoh moratorium enam bulan yang bermula minggu lalu,” tegas beliau.
Muhyiddin menegaskan, rakyat perlu sedar bahawa Malaysia memiliki kepentingan strategik besar termasuk kedudukan geografi di Selat Melaka, rizab REE berkualiti tinggi, serta sumber minyak dan gas yang luas yang tidak wajar digadaikan melalui perjanjian tidak seimbang dengan kuasa besar dunia.-The Merdeka Times