Terkini
Nga Kor Ming pertahan tindakan, Dakwa wartawan sengaja cari isu
- “Bagaimanapun, masih ada seorang wartawan yang sengaja bertanya mengapa slogan kempen itu tidak dalam bahasa Melayu,” katanya, sambil mendakwa tindakan itu bertujuan menimbulkan masalah serta memalukan negara di hadapan media antarabangsa.
- Beliau juga menjelaskan bahawa kedua-dua pihak mempunyai hak dalam interaksi media, wartawan berhak bertanya, manakala individu yang ditemu bual berhak memberi penjelasan atau pembetulan.
KUALA LUMPUR— Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, mempertahankan tindakannya terhadap seorang wartawan semasa pelancaran kempen “I Lite U”, dengan mendakwa wartawan berkenaan sengaja menimbulkan isu bahasa bagi memalukan negara di hadapan media asing.
Nga berkata demikian ketika menjawab kritikan pelbagai pihak termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) yang tidak bersetuju dengan cara beliau memberikan reaksi terhadap pertanyaan mengenai penggunaan bahasa Inggeris pada slogan kempen berkenaan.
“Bagaimanapun, masih ada seorang wartawan yang sengaja bertanya mengapa slogan kempen itu tidak dalam bahasa Melayu,” katanya, sambil mendakwa tindakan itu bertujuan menimbulkan masalah serta memalukan negara di hadapan media antarabangsa.
Menurut laporan Oriental Daily News, Nga menegaskan bahawa sidang akhbar itu diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan dihadiri wakil media asing, justeru penggunaan bahasa Inggeris dianggap wajar bagi menarik pelancong antarabangsa.
Beliau juga menjelaskan bahawa kedua-dua pihak mempunyai hak dalam interaksi media, wartawan berhak bertanya, manakala individu yang ditemu bual berhak memberi penjelasan atau pembetulan.
“Seperti wartawan yang berhak mengajukan soalan, orang yang ditemu bual juga berhak menjawab dengan pembetulan. Itu amalan yang adil. Reaksi berlebihan akan timbul jika seseorang tidak boleh menerima sedikit pembetulan,” katanya.
Nga turut menjelaskan bahawa sesi taklimat media dan ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada program tersebut turut dijalankan dalam bahasa Melayu, walaupun dihadiri media asing.
Insiden tersebut tular selepas Nga, yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, dilihat menegur seorang wartawan secara keras dan kemudian memberitahu akan menghubungi ketua editor wartawan berkenaan.
Susulan itu, NUJM mengeluarkan kenyataan menzahirkan kebimbangan terhadap apa yang digambarkan sebagai percubaan untuk menakut-nakutkan wartawan -The Merdeka Times