Connect with us

Terkini

NUJM kecam tindakan menteri ugut wartawan sifatkan tidak beretika, jejas kebebasan media

Published

on

Foto: Menurut Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Mohamed Yusof
  • Menurut Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Mohamed Yusof, tindakan menteri berkenaan yang cuba memanggil editor Utusan Malaysia selepas wartawan mengemukakan soalan dalam sidang media adalah sesuatu yang amat dikesali.
  • “Diingatkan, wartawan berkenaan telah melaksanakan tugasnya secara profesional iaitu mengemukakan soalan secara sopan dan teratur di dalam sidang akhbar rasmi, dan langkah ini selari dengan prinsip kewartawanan beretika,” katanya.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) mengecam tindakan seorang menteri yang didakwa mengugut seorang wartawan Utusan Malaysia selepas sidang media baru-baru ini, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika serta menjejaskan kebebasan media di negara ini.

Menurut Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Mohamed Yusof, tindakan menteri berkenaan yang cuba memanggil editor Utusan Malaysia selepas wartawan mengemukakan soalan dalam sidang media adalah sesuatu yang amat dikesali.

“Tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah dilihat sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia.

“Diingatkan, wartawan berkenaan telah melaksanakan tugasnya secara profesional iaitu mengemukakan soalan secara sopan dan teratur di dalam sidang akhbar rasmi, dan langkah ini selari dengan prinsip kewartawanan beretika,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, wartawan tersebut hanya mengemukakan soalan berkaitan penggunaan Bahasa Melayu tanpa sebarang unsur provokasi atau niat menggugat kepentingan negara.

Teh Athira menegaskan, seorang menteri sebagai penjawat awam wajar menghormati peranan media sebagai penyampai maklumat dan suara rakyat, bukan memperlekeh atau memberi tekanan hanya kerana soalan yang diajukan dianggap tidak selesa untuk dijawab.

“Tindakan memanggil editor untuk ‘memberi penjelasan’ mengenai soalan wartawan jelas menghantar mesej yang salah dan berbahaya, seolah-olah wartawan harus dihukum kerana melaksanakan tugas mereka dengan jujur dan bertanggungjawab.

“NUJM melihat ini adalah satu bentuk intimidasi yang tidak boleh dan tidak seharusnya diterima sama sekali. Sebarang tindakan yang mengekang kebebasan media hanya akan merosakkan kredibiliti kerajaan serta menghakis kepercayaan awam,” ujarnya.

Beliau turut menggesa semua pihak, khususnya para menteri dan pemimpin politik, agar menghormati peranan media serta tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menekan wartawan atau organisasi media.

“Setiap wartawan mempunyai tanggungjawab untuk bertanya, menyiasat dan melapor dengan berintegriti, bebas daripada campur tangan politik atau ancaman balas dendam.

“Sebarang tindakan yang mengekang kebebasan media hanya akan merosakkan kredibiliti kerajaan serta menghakis kepercayaan awam.

“Kami menggesa semua pihak, khususnya para menteri dan pemimpin politik, agar menghormati peranan media dan tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menekan wartawan atau organisasi media,” tegasnya.

Teh Athira berkata pihak NUJM akan terus mempertahankan kebebasan, maruah dan integriti wartawan di Malaysia. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author