Terkini
Malaysia ‘serah kemerdekaan’ demi kepentingan sementara – Tun Mahathir
- “Saya tak pernah fikir yang saya akan hidup untuk menyaksi bagaimana pemimpin Malaysia sanggup serah kemerdekaan kita hanya untuk nampak hebat buat beberapa minit dan di usap kepala oleh pemimpin asing. Tetapi ini yang berlaku, dan kini kita terpaksa tunduk pada kehendak Amerika Syarikat dalam hampir semua urusan perdagangan dan ekonomi kita. Ternampak yang kita telah serah kedaulatan kita,” – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
- Menurut Mahathir, hubungan perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat bukan lagi perkongsian timbal balik, sebaliknya penyerahan kebebasan ekonomi apabila negara akur kepada pelbagai syarat mereka hanya demi sedikit pelepasan tarif.
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menzahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan negara yang didakwanya telah “menyerah kemerdekaan” Malaysia kepada Amerika Syarikat, demi kepentingan sementara.
Mahathir menegaskan bahawa tindakan kerajaan dalam perjanjian perdagangan dan ekonomi terkini telah menggugat kedaulatan negara yang diperjuangkan sejak merdeka.
“Saya tak pernah fikir yang saya akan hidup untuk menyaksi bagaimana pemimpin Malaysia sanggup serah kemerdekaan kita hanya untuk nampak hebat buat beberapa minit dan di usap kepala oleh pemimpin asing.
“Tetapi ini yang berlaku, dan kini kita terpaksa tunduk pada kehendak Amerika Syarikat dalam hampir semua urusan perdagangan dan ekonomi kita. Ternampak yang kita telah serah kedaulatan kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mahathir, pada tahun 1957 ketika berjuang untuk kemerdekaan, negara berusaha untuk tentukan nasib kita dan di tahun-tahun berikutnya menghapus segala bentuk pengaruh asing ke atas negara.
“Tentu rakyat Malaysia masih ingat Dawn Raid dan Buy British Last sebagai contoh keazaman kita pertahan kemerdekaan dan keengganan kita untuk ikut telunjuk kuasa asing kerana kita negara merdeka dan kita sanggup mati untuk pertahankan kedaulatan kita.
“Malangnya, dalam perdagangan timbal balik antara Amerika Syarikat dan Malaysia, kita telah korbankan kemerdekaan kita dengan membenarkan Amerika mengenakan kehendaknya ke atas kita.
Menurut Mahathir, hubungan perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat bukan lagi perkongsian timbal balik, sebaliknya penyerahan kebebasan ekonomi apabila negara akur kepada pelbagai syarat mereka hanya demi sedikit pelepasan tarif.
“Apa yang kita saksikan bukanlah satu perkongsian, jauh sekali timbal balik. Ia penyerahan kebebasan ekonomi yang kita bina dan telah pertahankan dengan susah payah.
“Kita setuju beli kapal terbang, gas dan mesin mereka, patuh pada peraturan digital mereka, benar mereka nikmati hasil mineral nadir bumi kita, buka pasaran kita ikut syarat mereka, dan patuh pada syarat mereka tentang dengan siapa kita boleh atau tidak boleh berniaga, semua ini hanya untuk secebis pelepasan tarif,” tegasnya.
Mahathir turut mempersoalkan rasional kerajaan menandatangani perjanjian yang didakwa “berat sebelah”, meskipun wujud exit clause dalam perjanjian tersebut.
Beliau turut menyifatkan keadaan ini sebagai satu bentuk “penjajahan baru” atau neo-kolonialisme yang telah lama diingatkan oleh pemimpin-pemimpin rantau ini sejak zaman awal kemerdekaan.
“Benar ada 𝒆𝒙𝒊𝒕 𝒄𝒍𝒂𝒖𝒔𝒆, tetapi dari awal lagi terdapat syarat yang jelas menjerut kemerdekaan Malaysia, kenapa mesti kita setuju perjanjian itu?, bolehkah kita percaya yang Amerika Syarikat akan mudah setuju untuk batal?
“Jika kerajaan gunakan 𝒆𝒙𝒊𝒕 𝒄𝒍𝒂𝒖𝒔𝒆 untuk lepaskan diri dari perjanjian berat sebelah, jelas bahawa kerajaan ini tidak tahu bagaimana untuk berunding dengan baik sejak awal lagi. Inilah penjajahan baru (neo-kolonialisme) yang pemimpin-pemimpin serantau sebut sejak dari zaman awal kemerdekaan dulu,” katanya.
Beliau menyeru kerajaan berhenti bersembunyi di sebalik istilah perdagangan dan diplomasi, sebaliknya mengakui bahawa tindakan mereka telah memperdagangkan kemerdekaan negara demi menjaga hati kuasa asing yang turut menyokong kekejaman terhadap rakyat Palestin.
“Berhenti guna istilah perdagangan dan kerjasama, atau berdiplomasi, akuilah yang anda telah perdagangkan kemerdekaan negara kita kerana anda tidak berani dan terlalu ingin senangkan hati kuasa asing.
“Dan kuasa itu pula ialah pihak yang menyokong dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” tegasnya. – The Merdeka Times