Terkini
Wajib guna bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi Kerajaan
- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata melalui surat JPA.(S).100-1/3/3 bertarikh 9 Ogos 2022, keperluan itu dijelaskan dengan tegas bagi memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam segala urusan rasmi kerajaan.
- Justeru katanya, semua perkara yang dianjur atau diuruskan jabatan dan agensi kerajaan termasuk aktiviti, program dan projek hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
- Beliau berkata semua ketua jabatan diminta untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
KUALA LUMPUR – Selaras komitmen kerajaan untuk memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, semua urusan rasmi dalam perkhidmatan awam kini diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata melalui surat JPA.(S).100-1/3/3 bertarikh 9 Ogos 2022, keperluan itu dijelaskan dengan tegas bagi memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam segala urusan rasmi kerajaan.
“JPA telah menjelaskan keperluan untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi perkhidmatan awam.
“Selaras dengan keperluan tersebut, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam turut diperkenalkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Justeru katanya, semua perkara yang dianjur atau diuruskan jabatan dan agensi kerajaan termasuk aktiviti, program dan projek hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
“Bahasa Melayu hendaklah diberi keutamaan dan digunakan secara menyeluruh dari segi aspek nama, tema, tajuk, latar belakang, isi kandungan dan apa-apa maklumat yang berkaitan urusan rasmi perkhidmatan awam,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, semua ketua jabatan diminta untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Bagi memastikan ketetapan ini tidak menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan dan memberi implikasi perundangan kepada kerajaan, semua pihak dimohon untuk meneliti, menyemak dan mengambil tindakan bersesuaian berhubung perkara ini.
“Perhatian serius hendaklah diberikan terutamanya bagi sebarang perkara yang melibatkan kepentingan awam dan negara,” tambahnya. – The Merdeka Times