Connect with us

Terkini

Kerajaan perkukuh latihan dan kebajikan guru KAFA — Timb. Menteri Agama

Published

on

Foto: Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
  • Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, yang mencadangkan supaya guru KAFA diserapkan sebagai penjawat awam agar memperoleh gaji tetap, kenaikan tahunan dan kemudahan pinjaman seperti penjawat awam lain.
  • “Walaupun belum berlaku perubahan besar dari sudut elaun, pertambahan bilangan tenaga pengajar serta usaha memperkukuh latihan profesional sedang dijalankan secara berterusan,”- Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

 

 

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi memperkukuh kebajikan dan pembangunan profesional guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), termasuk melalui latihan serta kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, yang mencadangkan supaya guru KAFA diserapkan sebagai penjawat awam agar memperoleh gaji tetap, kenaikan tahunan dan kemudahan pinjaman seperti penjawat awam lain.

Menurut Dr Zulkifli, kadar elaun asas guru KAFA kini ialah RM1,100, namun jumlah sebenar yang diterima lebih tinggi apabila termasuk caruman KWSP dan PERKESO.

“Jika dilihat dari sejarahnya sejak 1990, kadar elaun guru KAFA telah meningkat dari semasa ke semasa. Dengan tambahan caruman sosial, jumlah keseluruhan melebihi nilai asas yang disebut,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat komponen peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri yang menampung dan menambah baik kadar elaun di peringkat persekutuan, sekali gus mencerminkan kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.

Dr Zulkifli menegaskan bahawa usaha penambahbaikan tidak hanya tertumpu kepada aspek elaun, tetapi turut melibatkan peningkatan keupayaan dan profesionalisme guru KAFA.

Antara inisiatif utama termasuk kerjasama JAKIM dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam memperkenalkan elemen kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasa pengajaran KAFA selain kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk memperkukuh pendidikan bagi murid berkeperluan khas.

“Pendekatan ini menunjukkan tumpuan kerajaan bukan sekadar kepada imbuhan, tetapi kepada peningkatan menyeluruh kualiti dan kompetensi tenaga pengajar KAFA,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bilangan guru KAFA kini meningkat kepada 36,500 orang, berbanding 35,000 sebelum ini.

“Walaupun belum berlaku perubahan besar dari sudut elaun, pertambahan bilangan tenaga pengajar serta usaha memperkukuh latihan profesional sedang dijalankan secara berterusan,” katanya. -The Merdeka Times

 

 

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author