Terkini
Malaysia kekal larang eksport REE mentah, Utamakan nilai tambah dalam negara – Tengku Zafrul
- Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa Malaysia tidak akan melonggarkan dasar larangan eksport unsur nadir bumi (REE) mentah, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran dan penciptaan nilai dalam negara.
- “Maknanya nilai tambah mesti berlaku di Malaysia. Pekerjaan berkemahiran tinggi mesti diwujudkan di Malaysia. Teknologi pemprosesan mesti masuk ke Malaysia. Kita tidak lagi mahu menjadi negara yang hanya menggali dan menghantar keluar bahan mentah murah,” katanya.
KUALA LUMPUR — Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa Malaysia tidak akan melonggarkan dasar larangan eksport unsur nadir bumi (REE) mentah, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran dan penciptaan nilai dalam negara.
Dalam sesi kenyataan menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat di Dewan Rakyat hari ini, beliau menjelaskan bahawa dasar tersebut bertujuan memastikan Malaysia tidak lagi menjadi negara pengeksport bahan mentah murah seperti pada masa lalu.
“Maknanya nilai tambah mesti berlaku di Malaysia. Pekerjaan berkemahiran tinggi mesti diwujudkan di Malaysia. Teknologi pemprosesan mesti masuk ke Malaysia. Kita tidak lagi mahu menjadi negara yang hanya menggali dan menghantar keluar bahan mentah murah,” katanya.
Zafrul berkata, kerajaan menggalakkan pelaburan asing serta perkongsian teknologi dalam aktiviti perlombongan REE mentah bagi membangunkan ekosistem industri domestik yang lebih bersepadu.
Malaysia, katanya, terbuka kepada kerjasama strategik termasuk dengan Amerika Syarikat dan Australia, khususnya menerusi potensi kerjasama tiga hala antara Malaysia, AS dan Lynas dalam pembangunan sektor REE.
“Kalau ada apa-apa pembangunan sumber strategik negara, ia akan berlaku mengikut undang-undang Malaysia, di tanah Malaysia, dengan kawalan kedaulatan Malaysia, bukan sesuka hati mengikut kehendak pelabur asing,” tegasnya.
Mengulas dakwaan bahawa Malaysia memberi kelonggaran eksport mineral kritikal demi ‘keuntungan segera’, Zafrul menjelaskan bahawa dasar kerajaan bukan bertujuan menyekat perdagangan selama-lamanya, sebaliknya untuk mengelakkan eksport bahan mentah yang tidak diproses.
“Selepas diproses di dalam negara mengikut undang-undang dan piawaian kita sendiri, dan selepas nilai itu dicipta di sini, produk hiliran bernilai tinggi bolehlah dieksport sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa prinsip yang sama digunakan dalam sektor lain seperti minyak dan gas, getah, koko dan sawit di mana eksport produk hiliran dibenarkan selepas melalui proses penambahbaikan nilai dalam negara.
Zafrul turut memberi jaminan bahawa semua pelaksanaan dan fasilitasi pelaburan di bawah perjanjian perdagangan ini akan dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan dasar negara, bagi memastikan sektor strategik kekal dilindungi.
“Matlamatnya jelas, memastikan sektor strategik kekal terpelihara, namun dalam masa yang sama membuka peluang baharu untuk rakyat dan industri tempatan,” ujarnya.-The Merdeka Times