Connect with us

Terkini

Malaysia berdepan kerugian besar jika nadir bumi dijual bentuk mentah

Published

on

Foto: Pengasas Global Rare Earth Technology, Datuk Dr. Badhrul Hisham Abdul Aziz
  • Pengasas Global Rare Earth Technology, Datuk Dr. Badhrul Hisham Abdul Aziz berkata, tindakan membenarkan negara asing, khususnya Amerika Syarikat, mengeksploitasi sumber nadir bumi negara melalui kerjasama dengan syarikat seperti Lynas, tidak akan memberikan manfaat besar kepada Malaysia.
  • Jelas Badrul Hisham, kali ini, negara hanya akan menjual sumber nadir bumi mentah yang dilombong dan dihantar tanpa had, dan pihak luar akan mengaut keuntungan berlipat ganda dengan pemprosesan pada sektor midstream dan downstream.
  • “Implikasinya terhadap negara adalah besar, kita akan kerugian berbilion ringgit,” katanya.

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal berdepan kerugian besar sekiranya sumber nadir bumi negara hanya dijual dalam bentuk mentah kepada pihak luar tanpa pemprosesan di dalam negara, tegas pengasas Global Rare Earth Technology, Datuk Dr. Badhrul Hisham Abdul Aziz.

Beliau berkata, tindakan membenarkan negara asing, khususnya Amerika Syarikat, mengeksploitasi sumber nadir bumi negara melalui kerjasama dengan syarikat seperti Lynas, tidak akan memberikan manfaat besar kepada Malaysia.

“Saya tidak pasti atau mendapat maklumat tepat mengenai perkara ini. Dari beberapa sumber awam dan media, ada yang berpendapat atau membuat andaian bahawa kemungkinan besar Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan Lynas untuk mengeksploitasi sumber nadir bumi negara.

“Ia disebabkan bukan sahaja Lynas ada kilang pemprosesan di Kuantan, malah sedang membina sebuah kilang penapisan nadir bumi di Amerika Syarikat dengan dana dari Jabatan Pertahanan AS serta sebuah kilang penapisan yang hampir siap dibina di Australia. Perkara ini tidak akan menguntungkan negara,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Menurutnya, seperti Lynas yang beroperasi di Malaysia, menggunakan sepenuhnya 100 peratus sumber nadir bumi mentah dari Australia, diproses di Malaysia dan 100 peratus eksport ke luar untuk negara lain seperti Jepun.

Namun, jelas Badrul Hisham, kali ini, negara hanya akan menjual sumber nadir bumi mentah yang dilombong dan dihantar tanpa had, dan pihak luar akan mengaut keuntungan berlipat ganda dengan pemprosesan pada sektor midstream dan downstream.

Beliau mengingatkan, senario ini mengulangi kesilapan lampau ketika negara hanya bergantung pada eksport getah dan kelapa sawit mentah pada tahun 1960-an dan 1970-an tanpa pemindahan teknologi atau pembangunan kemahiran tempatan.

“Implikasinya terhadap negara adalah besar, kita akan kerugian berbilion ringgit.

“Malah bukan itu sahaja, peluang untuk menjadikan sumber itu sebagai kekayaan ekonomi pun akan terjejas dan peluang menggunakan nadir bumi sebagai ‘bargaining chip’ untuk keselamatan negara terbantut disebabkan perjanjian berat sebelah dengan Amerika Syarikat,” tegasnya.

Jelas beliau, Malaysia mempunyai tenaga pakar dan kemampuan teknologi yang mencukupi untuk membangunkan industri nadir bumi sendiri, termasuk kilang pemprosesan dan pembuatan magnet berasaskan nadir bumi.

“Sebenarnya kerajaan boleh melaksanakan dasar dan strategi yang jauh lebih baik dengan mewajibkan pemprosesan nadir bumi dilakukan di Malaysia dengan kepentingan saham oleh pihak industri tempatan atau kerajaan sendiri.

“Pakar-pakar tempatan adalah mencukupi dan mereka juga berupaya merangka dan membangun kilang-kilang pemprosesan hasil dari penyelidikan dan penglibatan dengan industri seperti Lynas,” katanya.

Beliau turut menegaskan pentingnya keyakinan diri dalam kalangan kepimpinan negara untuk mempercayai keupayaan rakyat dan negara sendiri.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan komitmen kerajaan terhadap perjanjian perdagangan yang melibatkan sumber strategik negara sebagai satu bentuk penjajahan ekonomi baharu.

“Setelah mencapai kemerdekaan hampir 70 tahun dengan segala kemajuan dari pelbagai sudut seperti ekonomi, pembangunan dan pendidikan, kita masih membiarkan negara kita dijajah oleh kuasa asing.

“Atas apa sahaja nama yang diberi seperti kebijaksanaan geopolitik, maqasid, atau kita negara kecil, kita tidak ada ‘izzah’ dan masih terkongkong dalam pemikiran ‘berjiwa hamba,” ujarnya.

Beliau turut menyeru pemimpin negara supaya berjiwa besar dan berprinsip dalam mempertahankan kedaulatan ekonomi Malaysia.

“Kita tidak boleh membiarkan negara dibuli oleh negara asing hanya semata-mata alasan geopolitik. Kita kena ada rasa ‘izzah’ dan boleh menjalankan urusan ekonomi kita dengan mandiri.

“Dunia kini menuju ke arah yang tiada lagi kuasa besar, semua negara termasuk ASEAN boleh membangunkan ekonomi masing-masing secara adil tanpa dicengkam kuasa asing.

“Political will kena kuat, berprinsip dan insya-Allah, jika kita yakin dengan kemampuan kita serta berserah kepada Allah, kita akan jadi negara yang maju, kuat dan berdaulat,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia komited kepada pembangunan segera sektor mineral penting dan unsur nadir bumi dengan kerjasama syarikat dari Amerika Syarikat (AS), termasuk memberikan lesen operasi lanjutan bagi mewujudkan kepastian untuk perniagaan meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Malaysia dan AS dalam satu pernyataan bersama berkata Malaysia komited untuk tidak mengenakan sekatan atau kuota ke atas eksport mineral penting atau unsur nadir bumi ke AS.

“Malaysia komited untuk memastikan tiada sekatan dikenakan ke atas jualan magnet nadir bumi kepada syarikat AS,” demikian menurut Pernyataan Bersama mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia yang dikeluarkan oleh White House.

Katanya Washington dan Putrajaya komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan keselamatan negara, meningkatkan daya tahan dan inovasi rantaian bekalan, menangani pengelakan duti serta bekerjasama dalam keselamatan pelaburan dan kawalan eksport. – The Merdeka Times.

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author