Terkini
Nadir bumi : Malaysia jangan terperangkap dalam perebutan kuasa AS–China
- Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique menjelaskan, isu nadir bumi sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada persaingan geopolitik antara AS dan China, dengan Washington kini melaksanakan dasar reaktif bagi menyekat dominasi Beijing dalam pasaran global REE.
- “Cara fikir Malaysia sebagai negara kecil menyebabkan kita terus dibuli oleh kuasa-kuasa besar. Perjanjian ini lebih banyak menguntungkan Amerika Syarikat berbanding kita,” katanya.
- Beliau turut memberi amaran bahawa tanpa dasar yang berpaksikan pembangunan industri domestik, Malaysia berisiko kekal sebagai negara pengeksport mineral logam murah kepada kuasa besar yang kemudiannya menggunakan sumber itu untuk membangunkan industri mereka sendiri.
KUALA LUMPUR — Perjanjian perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (AS) yang memberi tumpuan kepada sektor mineral penting dan unsur nadir bumi (REE) perlu dilihat secara berhati-hati agar tidak menjadikan Malaysia sekadar pengeksport sumber mentah kepada kuasa besar, tegas Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique.
Beliau berkata, pendekatan Malaysia yang cenderung melihat diri sebagai negara kecil sering menyebabkan negara ini mudah “dibuli” oleh kuasa besar, sedangkan kedudukan Malaysia dalam industri nadir bumi dunia mampu dijadikan keuntungan strategik.
“Cara fikir Malaysia sebagai negara kecil menyebabkan kita terus dibuli oleh kuasa-kuasa besar. Perjanjian ini lebih banyak menguntungkan Amerika Syarikat berbanding kita,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Asyraf menjelaskan, isu nadir bumi sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada persaingan geopolitik antara AS dan China, dengan Washington kini melaksanakan dasar reaktif bagi menyekat dominasi Beijing dalam pasaran global REE.
“Kita seharusnya tidak terjerat dalam pergelutan tersebut, sebaliknya bijak memanipulasi dan mengambil peluang daripada konflik itu,” katanya lagi.
Menurut beliau, Malaysia ketika ini sudah pun memiliki kedudukan strategik dalam rantaian nilai global antaranya melalui kemudahan pemprosesan mid-stream Lynas yang menyumbang sekitar 12 peratus kapasiti dunia.
“Kita boleh menggunakan kedudukan ini sebagai leverage untuk berunding dengan kuasa besar. Soalnya, bagaimana kita boleh memanfaatkan posisi ini untuk membina industri nadir bumi nasional, bukannya mengekalkan peranan sebagai pengeksport sumber mentah,” tegasnya.
Asyraf memberi amaran bahawa tanpa dasar yang berpaksikan pembangunan industri domestik, Malaysia berisiko kekal sebagai negara pengeksport mineral logam murah kepada kuasa besar yang kemudiannya menggunakan sumber itu untuk membangunkan industri mereka sendiri.
“Kita akan berkekalan menjadi negara pengeksport mineral logam murah kepada negara-negara kuasa besar untuk membangunkan industri mereka. Malaysia sepatutnya menumpukan kepada pembinaan industri nadir bumi nasional yang mampu memberi pulangan jangka panjang kepada ekonomi,” katanya.-The Merdeka Times