Terkini
Laporan Bank Dunia dedah 40% murid dakwa cikgu tak masuk kelas, ke mana cikgu pergi?
- Timbalan Pengarah MINDA UKM, Dr Anuar Ahmad berkata pendedahan mengejutkan itu turut menyatakan perbezaan ketara antara Malaysia dan Vietnam, di mana hanya lapan peratus murid di negara itu melaporkan guru tidak masuk ke kelas.
- Laporan berkenaan juga menyebut sebahagian besar masa guru telah digunakan untuk kerja-kerja pentadbiran dan pengkeranian, termasuk tugasan-tugasan pengurusan yang bukan bersifat pengajaran.
- Beliau berpendapat situasi ini mencerminkan satu krisis dalam sistem pendidikan negara, yang boleh memberi kesan besar terhadap kualiti pembelajaran murid-murid jika tidak ditangani segera
KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 peratus murid Tahun Lima di Malaysia mendakwa guru mereka tidak masuk ke kelas untuk mengajar, menurut satu laporan yang dikeluarkan Bank Dunia mengenai pendidikan Malaysia pada tahun 2024.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata pendedahan mengejutkan itu turut menyatakan perbezaan ketara antara Malaysia dan Vietnam, di mana hanya lapan peratus murid di negara itu melaporkan guru tidak masuk ke kelas.
Menurutnya, laporan itu juga mendedahkan satu lagi hakikat yang membimbangkan, meskipun guru-guru di Malaysia hadir ke sekolah, mereka dilaporkan menghabiskan masa yang jauh lebih sedikit untuk aktiviti pengajaran berbanding purata antarabangsa.
“Kita dapati dalam laporan tersebut menunjukkan bahawa cikgu punya waktu pengajaran lebih rendah daripada purata dunia, yang bermaksud pengajaran guru-guru lebih sedikit berbanding purata negara-negara lain yang terlibat.

Program Bicara Persada “Pendidikan Cacat? Akademik Tidak, Moral Pun Tidak” anjuran Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM).
“Bagaimanapun, masa guru-guru Malaysia bekerja di sekolah lebih tinggi daripada negara-negara lain, bermaksud guru berada di sekolah tetapi kurang masuk ke kelas mengajar, persoalannya di manakah guru-guru ini pergi,” jelasnya ketika menjadi panelis dalam program Bicara Persada “Pendidikan Cacat? Akademik Tidak, Moral Pun Tidak” anjuran Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM).
Anuar berkata laporan itu juga menyebut sebahagian besar masa guru telah digunakan untuk kerja-kerja pentadbiran dan pengkeranian, termasuk tugasan-tugasan pengurusan yang bukan bersifat pengajaran.
“Laporan ini menunjukkan, guru-guru banyak terlibat dengan kerja-kerja pengkeranian serta urusan-urusan bukan pengajaran.
“Kalau kita tengok data ini memang menunjukkan jumlah yang tinggi di mana kebanyakan guru-guru terlibat urusan pengkeranian, pengurusan sekolah, kerja-kerja pentabiran untuk sekolah dan sebagainya.
“Justeru, secara konklusinya di sini, masa guru-guru ini lebih banyak dihabiskan atau digunakan untuk urusan-urusan yang bukan pengajaran,” tegasnya.
Beliau berpendapat situasi ini mencerminkan satu krisis dalam sistem pendidikan negara, yang boleh memberi kesan besar terhadap kualiti pembelajaran murid-murid jika tidak ditangani segera. – The Merdeka Times