Connect with us

Terkini

Langkah Arab Saudi hadkan jemaah uzur ke haji tepat

Published

on

Foto: Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham
  • Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata langkah itu juga dilihat sejajar dengan kehendak syarak yang meletakkan syarat kemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan masa bagi menunaikan ibadah kelima Rukun Islam itu.
  • “Ibadah haji ini kalau mengikut hukum mesti berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan masa, jadi kalau tidak sihat, tak perlu untuk tunaikannya,” katanya
  • Mengulas lanjut, Razali berkata, langkah mengehadkan jemaah yang tidak sihat dapat mengelakkan bebanan terhadap jemaah lain sepanjang tempoh ibadah.

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan Arab Saudi untuk menetapkan syarat kesihatan baharu dalam pemilihan jemaah bagi musim haji 1447H/2026M disifatkan sebagai langkah yang tepat demi menjaga kebajikan dan keselamatan para jemaah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata langkah itu juga dilihat sejajar dengan kehendak syarak yang meletakkan syarat kemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan masa bagi menunaikan ibadah kelima Rukun Islam itu.

Beliau menjelaskan, ibadah haji bukan sekadar soal mampu dari segi kewangan sahaja, tetapi turut merangkumi aspek kesihatan dan fizikal yang perlu diberi perhatian.

“Pada pandangan saya, memang itu langkah yang baik kerana mana-mana pihak, khususnya warga emas yang sihat tubuh badan dibenarkan pergi menunaikan ibadah haji.

“Namun, kalau yang tidak sihat dengan keadaan cuaca yang panas dengan berhimpit, tekanan jiwa, sememangnya tidak digalakkan lebih-lebih lagi pada yang dah berumur serta uzur.

“Ibadah haji ini kalau mengikut hukum mesti berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan masa, jadi kalau tidak sihat, tak perlu untuk tunaikannya,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, langkah mengehadkan jemaah yang tidak sihat dapat mengelakkan bebanan terhadap jemaah lain sepanjang tempoh ibadah.

“Memang itu yang terbaik untuk para jemaah, kerana kalau hendak pergi menunaikan ibadah haji biar masa kita muda, kalau sudah berumur kalau masih sihat tak mengapa, takut apabila kita tidak sihat ia akan membebankan pada orang lain.

“Nak pergi haji terpaksa jaga kita, kena tengok orang sakit, kena mendapatkan rawatan kesihatan lagi, jadi ia akan membebankan pada jemaah lain. Justeru, langkah yang dibuat oleh Arab Saudi itu satu langkah yang bagus dan tepat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan baharu bagi bakal jemaah haji musim 1447H/2026M, selain tidak lagi membenarkan Lembaga Tabung Haji (TH) membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Mustakim Mohamad dalam kenyataan hari ini memaklumkan syarat kesihatan baharu itu akan dikuatkuasakan oleh TH dan perlu dipatuhi semua jemaah dari Malaysia bagi memperoleh visa haji.

Beliau berkata antara syarat yang ditetapkan ialah bakal jemaah perlu bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik yang tidak terkawal, serta berupaya melaksanakan ibadat haji secara kendiri. – The Merdeka Times.

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author