Terkini
Himpunan aman tolak dasar Trump Pro-Israel Ahad ini, 9 Pagi
- Aktivis dan bekas Ahli Parlimen, Tian Chua menyatakan himpunan itu adalah simbol solidariti rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan menzahirkan penolakan terhadap dasar luar Amerika Syarikat yang pro-Zionis.
- Tambah beliau, himpunan tersebut mencerminkan gelombang solidariti global yang berlaku di seluruh dunia, termasuk di negara-negara Barat.
- “Tekanan seperti ini juga diharapkan boleh memaksa Israel dan Amerika Syarikat agar tunduk kepada tekanan dunia. Sekiranya tiada mobilisasi perhimpunan besar-besaran selama ini, pembunuhan beramai-ramai itu akan berterusan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Penganjur Himpunan Rakyat Tolak Trump, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua menyeru rakyat Malaysia turun berhimpun secara aman di sekitar Ampang Park pada pukul 9 pagi, Ahad ini bagi menyuarakan bantahan terhadap dasar Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presidennya, Donald Trump.
Aktivis dan bekas Ahli Parlimen, Tian Chua menyatakan himpunan itu adalah simbol solidariti rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan menzahirkan penolakan terhadap dasar luar Amerika Syarikat yang pro-Zionis.
“Kita yang menyatakan sokongan terhadap Palestin ini jelas dengan kezaliman yang terjadi sehingga hari ini.
“Bagaimana Donald Trump merupakan seorang pemusnah dan juga penyokong Israel tegar di samping menghulurkan bantuan berterusan kepada rejim Zionis itu, secara jelas menunjukkan rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan dasar yang dibawa oleh Trump,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Tambah beliau, himpunan tersebut mencerminkan gelombang solidariti global yang berlaku di seluruh dunia, termasuk di negara-negara Barat.
Tian Chua turut menegaskan bahawa tekanan dari masyarakat antarabangsa, termasuk demonstrasi aman, telah memberi kesan dalam usaha menghentikan serangan kejam ke atas Gaza.
“Saya rasa yang penting himpunan aman seluruh dunia walaupun di Amerika Syarikat atau di negara-negara Eropah yang lain, secara jelas dengan membawa objektif demonstrasi yang menyokong Palestin di mana kebanyakan masyarakat seluruh dunia tidak sehaluan dengan apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat.
“Tekanan seperti ini juga diharapkan boleh memaksa Israel dan Amerika Syarikat agar tunduk kepada tekanan dunia. Sekiranya tiada mobilisasi perhimpunan besar-besaran selama ini, pembunuhan beramai-ramai itu akan berterusan,” katanya.
Dalam masa sama menurutnya lagi, perhimpunan itu akan dijalankan sepenuhnya secara aman, tanpa sebarang elemen keganasan atau perkauman.
“Kita mahu berhimpun secara aman, bagi ceramah, pamerkan banner ini semua boleh dilakukan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, mengikut garis undang-undang.
“Pihak berkuasa juga mengambil maklum akan perhimpunan yang akan diadakan ini nanti,” tegas beliau.
Tian Chua menegaskan bahawa himpunan itu tidak bertujuan menentang mana-mana kaum atau kerajaan, malah menyokong usaha Malaysia dalam memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa.
“Apa yang cuba kita bantah ialah Donald Trump serta dasar Amerika Syarikat yang memberi sokongan sepenuhnya kepada Israel bagi melakukan kezaliman terhadap orang Palestin.
“Saya memberi jaminan peserta himpunan mematuhi arahan dan tidak mengganggu sebarang aktiviti termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung berdekatan,” ujarnya. – The Merdeka Times