Terkini
Tiada keperluan penambahan subjek ‘Pendidikan Karakter’ – Dr. Anuar Ahmad
- Pakar Pendidikan UKM, Dr. Anuar Ahmad berkata usaha membina karakter pelajar telah lama dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan yang menyeluruh merangkumi mata pelajaran, aktiviti kokurikulum dan sistem pengiktirafan sahsiah murid di sekolah.
- “Pendidikan karakter sama ada dalam bentuk mata pelajaran atau program baharu, saya rasa tidak ada keperluan. Kita sebenarnya sudah mempunyai banyak mekanisme untuk membina karakter, cuma perlu ditingkatkan keberkesanannya,” katanya.
- Dr. Anuar berpandangan bahawa memperkenalkan subjek baharu seperti Pendidikan Karakter hanya akan menambah beban kepada guru dan pelajar yang sedia ada.
KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan subjek baharu Pendidikan Karakter di sekolah dianggap tidak perlu kerana sistem pendidikan negara telah pun mempunyai pelbagai mekanisme sedia ada bagi membentuk sahsiah dan keperibadian murid, kata Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad.
Beliau berkata, usaha membina karakter pelajar telah lama dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan yang menyeluruh merangkumi mata pelajaran, aktiviti kokurikulum dan sistem pengiktirafan sahsiah murid di sekolah.
“Pendidikan karakter sama ada dalam bentuk mata pelajaran atau program baharu, saya rasa tidak ada keperluan.
Kita sebenarnya sudah mempunyai banyak mekanisme untuk membina karakter, cuma perlu ditingkatkan keberkesanannya,” katanya.
Menurut beliau, sistem pendidikan negara sudah pun melaksanakan tiga mata pelajaran utama yang menyentuh aspek pembinaan nilai iaitu Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik.
Selain itu, terdapat pelbagai program pembangunan sahsiah dan kepimpinan di sekolah seperti kokurikulum badan beruniform, kelab bimbingan dan kaunseling, rakan sebaya, program pengawas, serta Duta Sahsiah Murid yang dilancarkan awal tahun ini.
“Semua program ini sudah pun bertujuan membina disiplin, keterampilan diri, dan semangat jati diri dalam kalangan murid.
Maka tidak perlu ditambah lagi satu program baharu dengan objektif yang sama,” ujarnya.
Dr. Anuar turut menjelaskan kewujudan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) yang dilaksanakan di seluruh negara. Sistem ini membolehkan guru memberikan markah merit kepada murid yang menunjukkan tingkah laku positif sebagai bentuk pengiktirafan dan galakan.
“Dengan sistem SSDM, murid digalakkan melakukan perkara baik di sekolah, manakala guru boleh memberi merit yang direkodkan dalam profil peribadi murid. Ini satu bentuk pendidikan karakter yang sudah ada dan berfungsi,” katanya.
Dr. Anuar berpandangan bahawa memperkenalkan subjek baharu seperti Pendidikan Karakter hanya akan menambah beban kepada guru dan pelajar yang sedia ada.
“Guru-guru sudah pun terbeban dengan tanggungjawab mengajar dan pelbagai tugasan lain. Kalau ditambah satu lagi subjek, ia bercanggah dengan usaha Kementerian Pendidikan pada 2023 yang mahu mengurangkan beban kerja guru,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada latihan khas atau program penghasilan guru Pendidikan Karakter di mana-mana Institut Pendidikan Guru (IPG) atau pusat latihan perguruan.
Ini bermakna tanggungjawab baharu itu akan dipikul oleh guru sedia ada tanpa latihan khusus.
Menutup hujahnya, Dr. Anuar menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menumpukan usaha kepada penambahbaikan pelaksanaan program dan subjek sedia ada, bukan memperkenalkan sesuatu yang baharu tanpa jaminan keberkesanan.
“Lebih baik kita kemaskan dulu apa yang telah ada. Tingkatkan keberkesanannya daripada memperkenalkan sesuatu yang belum tentu berkesan.
Kalau kita perkenalkan Pendidikan Karakter, adakah itu bermakna kita mengakui bahawa Pendidikan Islam, Moral dan Sivik telah gagal? Saya rasa tidak wajar begitu,” katanya. — The Merdeka Times