Terkini
‘Jenayah pelajar isu sistemik, tukar menteri bukan penyelesaian ajaib’
- Menurut Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar, menukar menteri bukanlah penyelesaian ajaib kepada masalah jenayah pelajar yang terjadi kini.
- Jenayah pelajar adalah isu sistemik yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kemiskinan, institusi kekeluargaan, pengaruh rakan sebaya, media sosial, dan persekitaran sosial.
- Rusdi berkata sistem pendidikan negara tidak gagal sepenuhnya tetapi menghadapi cabaran dalam mengimbangi tumpuan akademik dengan pembangunan sahsiah.
KUALA LUMPUR – Menukar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kepada calon lain tidak akan menyelesaikan sebarang masalah berkaitan jenayah di kalangan pelajar secara langsung.
Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berkata menukar menteri bukanlah penyelesaian ajaib kepada masalah jenayah pelajar yang terjadi kini.
“Jenayah pelajar adalah isu sistemik yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kemiskinan, institusi kekeluargaan, pengaruh rakan sebaya, media sosial, dan persekitaran sosial.
“Perubahan kepimpinan tanpa reformasi struktur hanya menghasilkan gangguan sementara tanpa penyelesaian jangka panjang, malah kesinambungan dasar sering terganggu dengan penukaran kepimpinan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Tambah Rusdi, adalah wajar untuk menilai prestasi Menteri, tetapi penilaian perlu dibuat secara adil dan kontekstual.
“Menteri bertanggungjawab terhadap hala tuju dasar dan pelaksanaan, namun, isu sosial seperti jenayah pelajar adalah masalah kompleks berbilang agensi yang melibatkan keluarga, masyarakat, ekonomi, dan budaya.
“Kritikan membina terhadap kepimpinan adalah sihat dalam demokrasi, tetapi ia perlu berdasarkan fakta dan data, mengiktiraf pencapaian di samping kelemahan serta memberikan masa munasabah untuk reformasi memberi hasil,” ujarnya.
Sehubungan itu, Rusdi berkata sistem pendidikan negara tidak gagal sepenuhnya tetapi menghadapi cabaran dalam mengimbangi tumpuan akademik dengan pembangunan sahsiah.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebenarnya telah memperkenalkan pelbagai program seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, dan program Penghayatan Nilai Murni.
“Namun, pelaksanaannya memerlukan penambahbaikan seperti pendidikan sahsiah sering dilihat sebagai mata pelajaran “sampingan” berbanding subjek peperiksaan, masa pengajaran nilai moral terhad berbanding kurikulum akademik.
Malah guru juga katanya memerlukan latihan lebih komprehensif dalam pendekatan bimbingan sahsiah moden.
“Perlunya integrasi nilai murni merentas semua subjek, bukan hanya dalam satu mata pelajaran khusus, sambil mengekalkan kecemerlangan akademik,” tegasnya.
Beliau menjelaskan dasar sedia ada sudah cukup komprehensif di atas kertas, tetapi memerlukan pelaksanaan lebih berkesan, penambahbaikan berterusan berdasarkan data, dan fleksibiliti mengikut keperluan setempat. – The Merdeka Times