Connect with us

Agama

(VIDEO) Fatwa benar bayar zakat guna kripto langgar had Syariah – Penganalisis ekonomi Islam

Published

on

Foto: Penganalisis ekonomi Islam, Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid

KUALA LUMPUR — Penganalisis ekonomi Islam, Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid menegaskan tindakan beberapa majlis agama Islam negeri yang memperkenalkan fatwa membenarkan pembayaran zakat menggunakan mata wang kripto boleh dianggap telah “melangkaui batas” kerana bertentangan dengan ketetapan Bank Negara Malaysia (BNM) yang tidak pernah mengiktiraf kripto sebagai mata wang sah.

Dalam program Analisis bersama Finaz Yunus terbitan The Merdeka Times, beliau berkata walaupun ada pandangan bahawa kripto layak dikenakan zakat, fatwa yang membolehkan bayaran zakat dilakukan menggunakan kripto menimbulkan persoalan besar dari segi syarak dan perundangan negara.

“Walaupun ada sedikit kontroversi apabila satu atau dua majlis agama negeri memperkenalkan fatwa baharu bahawa kripto layak dikenakan zakat, mereka pergi lebih jauh dengan membenarkan zakat dibayar menggunakan kripto. Yang ini saya kata mereka telah melangkaui batas,” katanya.

Menurut beliau, BNM tidak pernah mengiktiraf kripto sebagai mata wang rasmi, maka penggunaannya sebagai medium pertukaran atau instrumen bayaran tidak sah di sisi undang-undang Malaysia.

“Sebab Bank Negara Malaysia tidak pernah mengiktiraf kripto sebagai mata wang. Jadi kripto tidak boleh digunakan. Maksudnya tidak boleh digunakan dalam konteks yang kita kata masih boleh ditolak. Kalau mata wang diiktiraf Bank Negara, kita tidak boleh menolak, tetapi kripto orang boleh kata tidak mahu terima,” jelasnya.

Prof. Baharum turut mempersoalkan ketelusan dan integriti di sebalik keputusan sesetengah institusi agama yang melibatkan pihak swasta dalam pengurusan kripto, terutama apabila terdapat individu yang memegang dua peranan  sebagai penasihat agama dan juga penasihat kepada syarikat berkaitan kripto.

Beliau menegaskan bahawa perbezaan pendirian ini boleh mengelirukan masyarakat Islam, malah bercanggah dengan prinsip urus tadbir syariah dan kewangan Islam yang menuntut kejelasan dan kawalan institusi yang sah.

Tambah beliau, penolakan terhadap kripto bukan hanya datang daripada dunia Islam, malah turut disuarakan oleh ramai tokoh ekonomi Barat termasuk pemenang Anugerah Nobel Ekonomi seperti Robert Shiller dan Paul Krugman yang berpandangan kripto bersifat spekulatif dan berisiko tinggi terhadap kestabilan ekonomi.

Untuk rekod, Disember tahun lalu, Pusat Pengutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) merupakan institusi zakat pertama menyediakan perkhidmatan bayaran zakat menggunakan mata wang kripto.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, terdapat keperluan untuk membimbing umat Islam tentang tanggungjawab zakat berkait aset digital ini seiring dengan perkembangan teknologi blockchain dan penggunaan aset digital seperti mata wang kripto, token digital dan Non-Fungible Token (NFT).-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author