Connect with us

Terkini

LAPORAN KHAS: Gaji minima sepatutnya melebihi Paras Garis Kemiskinan, RM2,705

Published

on

Foto:Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid (kanan) dan Datuk Abdul Halim Mansor (kiri).
  • Penganalisis INCEIF, Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid menyuarakan kebimbangan beliau terhadap ketidaksamaan gaji graduan yang memasuki pasaran kerja, terutama mereka yang memiliki ijazah.
  • “Ikut pandangan saya, gaji bagi ‘entry level’ untuk yang memiliki segulung ijazah harus berada di antara sekitar RM3,000 hingga RM3,500 manakala bagi yang mempunyai kelayakan diploma pula, mungkin di dalam sekitar RM2,500 ke RM3,000,” katanya.
  • Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor mempersoal logik apabila gaji minima ditetapkan lebih rendah daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara.
  • Beliau menyatakan, jika Pendapatan Garis Kemiskinan adalah sekitar RM2,705, maka gaji minima juga perlu ditetapkan lebih tinggi daripada paras itu.

Dalam landskap ekonomi Malaysia yang semakin mencabar, suara-suara mendesak reformasi terhadap struktur gaji pekerja semakin lantang.

Isu gaji minima dan gaji permulaan untuk graduan bukan sekadar soal imbuhan, tetapi melibatkan maruah, keadilan sosial, dan kesejahteraan jangka panjang rakyat.

Dua tokoh penting yang lantang menyuarakan isu ini ialah Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid, dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor.

Menerusi pandangan mereka, isu gaji dilihat bukan sekadar statistik, tetapi gambaran sebenar struktur sosial dan hala tuju dasar ekonomi negara.

Gaji Permulaan Graduan: Tidak Lagi Munasabah?

Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid menyuarakan kebimbangan beliau terhadap ketidaksamaan gaji graduan yang memasuki pasaran kerja, terutama mereka yang memiliki ijazah.

“Ikut pandangan saya, gaji bagi ‘entry level’ untuk yang memiliki segulung ijazah harus berada di antara sekitar RM3,000 hingga RM3,500 manakala bagi yang mempunyai kelayakan diploma pula, mungkin di dalam sekitar RM2,500 ke RM3,000.

“Jika sistem pendidikan dan struktur ekonomi negara tidak dirombak, anak-anak kita berkemungkinan akan terpaksa bekerja sebagai buruh berkemahiran rendah,” katanya kepada The Merdeka Times.

Tambah beliau, negara kini sebenarnya sudah lama berada dalam perangkap pendapatan sederhana.

“Isu gaji rendah bukan perkara terpencil sebaliknya berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkaitan seperti kebergantungan kepada pekerja asing, kegagalan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan berkualiti serta kelemahan sistem pendidikan.

“Adalah tidak munasabah kita masih menggunakan gaji bernilai RM1,800 sebagai permulaan, di mana adalah jumlah yang agak ketinggalan mengikut kepada kedudukan serta situasi ekonomi semasa,” ujarnya.

Gaji Tidak Selari Dengan Inflasi Dan Kos Sara Hidup

Baharom menekankan betapa gaji permulaan tidak berkembang selari dengan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

“Apa yang berlaku hari ini ialah pergerakan harga inflasi yang lebih pantas berbanding peningkatan gaji. Ia berbeza sekiranya harga barang dan gaji naik seiring. Itu tiada masalah.

“Gaji yang tidak meningkat seiring dengan inflasi menyebabkan kuasa beli merosot, di mana walaupun jumlah gaji sama, ia mampu membeli lebih sedikit barang dan perkhidmatan akibat kenaikan harga barang.

“Perbezaan ini secara langsung meningkatkan beban kos sara hidup, kerana pendapatan individu tidak dapat menampung keperluan harian seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, media melaporkan, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Marzunisham Omar walaupun inflasi keseluruhan telah menurun dengan ketara disebabkan pengetatan dasar monetari yang tepat pada masanya, paras harga masih kekal tinggi, sekali gus mengurangkan kuasa beli isi rumah di tengah-tengah pertumbuhan gaji yang sederhana.

“Dari suku pertama 2020 (S1 2020) hingga suku pertama 2025 (S1 2025), Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat secara kumulatif sebanyak 9.8 peratus, manakala harga makanan dan minuman meningkat lebih tinggi iaitu 17.5 peratus.

“Sebaliknya, gaji nominal sektor swasta bagi setiap pekerja hanya meningkat 7.9 peratus dalam tempoh yang sama. Jadi, dalam istilah sebenarnya, gaji bagi setiap pekerja menurun sebanyak 1.9 peratus, justeru itulah sebabnya kita merasai tekanan daripada kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Implikasi Sosial Yang Membimbangkan

Menurut Baharom, graduan yang menerima gaji rendah sering kali tergolong dalam kumpulan B40, sekaligus menjejaskan moral dan produktiviti mereka.

“Bayangkanlah moral dia keluar universiti gaji RM1,600, RM1,800. Moral dia pun rendah. Sebab tu kadang-kadang mereka lebih rela duduk di gig ekonomi bagi menampung kos sara hidup.

“Namun, gig ekonomi bukanlah satu bentuk jalan penyelesaian jangka panjang,” jelasnya.

Baharom turut memberi amaran, tanpa gaji yang wajar hari ini, kita sedang mencipta generasi pesara miskin esok hari.

“Bila gaji rendah hasil tabungan juga rendah, pada masa sama jejaskan kualiti hidup di masa tua atau persaraan nanti.

“Implikasi ini amat membimbangkan sekali di kala negara juga sedang menuju ke arah negara tua,” katanya.

Gaji Minima: Perlu Selari Dengan Garis Kemiskinan

Sementara itu, Datuk Abdul Halim Mansor menegaskan bahawa penetapan gaji minima tidak harus sekadar formaliti, sebaliknya mesti didasari oleh kajian menyeluruh dan kejujuran dalam pelaksanaan.

Beliau mempersoalkan logik apabila gaji minima ditetapkan lebih rendah daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara.

“Logik atau tidak apabila kita meletakkan gaji minima di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara?” soalnya.

Beliau menyatakan, jika Pendapatan Garis Kemiskinan adalah sekitar RM2,705, maka gaji minima juga perlu ditetapkan lebih tinggi daripada paras itu.

“Apa yang sepatutnya kerajaan lakukan ialah kenaikan itu berdasarkan daripada Pendapatan Garis Kemiskinan,” katanya.

Ia bagi mewujudkan persekitaran ekonomi sihat, bukan sahaja kepada masyarakat malah juga negara.

Menerusi laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pendapatan PGK menerusi tinjauan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2024 menunjukkan, nilai purata PGK terbaharu kini telah meningkat kepada RM2,705 berbanding RM2,589 pada 2022.

Manakala paras purata miskin tegar pula meningkat kepada RM1,236 berbanding RM1,198 (2022).

Subsidi Adalah Bantuan, Gaji Adalah Hak Pekerja.

Abdul Halim memberitahu, apa yang wajar kerajaan perbetulkan ialah melalui dasar gaji minima yang munasabah, bermaruah, bukan melalui bantuan atau susidi.

Beliau menekankan  gaji adalah hak pekerja manakala subsidi adalah bantuan kerajaan.

“Gaji adalah hak pekerja berdasarkan kerja yang telah mereka laksanakan atau lakukan.

“Kerajaan memudahkan dengan memberi subsidi tetapi sepatutnya hasil daripada pendapatan negara sepatutnya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk gaji yang bermaruah,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author