Terkini
Menteri Pendidikan wajar diterajui pemimpin berlatar belakang keguruan
- Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata prestasi menteri bukan sekadar pencapaian akademik seperti keputusan peperiksaan awam yang menjadi kayu ukur prestasi seorang Menteri Pendidikan, malah lebih penting adalah pengalaman dan pemahaman mendalam terhadap pendidikan negara.
- Menteri Pendidikan wajar mempunyai latar belakang keguruan dan sebaiknya kementerian diterajui oleh ahli politik yang pernah mempunyai pengalaman sebagai guru atau pensyarah agar setiap pelusuk sudut sekolah serta sistem pendidikan diterobosi oleh pemimpin yang mempunyai denyut nadi keguruan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar diterajui oleh individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang keguruan agar pemahaman terhadap sistem pendidikan dapat diterapkan secara menyeluruh.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata prestasi menteri bukan sekadar pencapaian akademik seperti keputusan peperiksaan awam yang menjadi kayu ukur prestasi seorang Menteri Pendidikan, malah lebih penting adalah pengalaman dan pemahaman mendalam terhadap pendidikan negara.
“Bagi saya, standard prestasi menteri bukan sekadar pencapaian dalam peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang makin meningkat sepanjang tahun semata-mata.
“Menteri Pendidikan wajar mempunyai latar belakang keguruan dan sebaiknya kementerian diterajui oleh ahli politik yang pernah mempunyai pengalaman sebagai guru atau pensyarah agar setiap pelusuk sudut sekolah serta sistem pendidikan diterobosi oleh pemimpin yang mempunyai denyut nadi keguruan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Walaubagaimanapun, Tawfik menegaskan, penyelesaian kepada krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan negara hari ini bukanlah dengan mendesak Menteri Pendidikan meletakkan jawatan, tetapi sebaliknya memerlukan komitmen jitu seluruh pasukan kementerian untuk melakukan perubahan drastik demi masa depan generasi muda.
“Bagi saya masih belum sampai ke peringkat meminta atau mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk meletakkan jawatan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.
“Namun, beliau perlu bersama-sama dengan pasukan di kementerian berusaha menyelesaikan isu-isu serius yang berlaku di sekolah kerana KPM mempunyai kemampuan kakitangan dan guru untuk merombak secara drastik apa sahaja dasar yang boleh memperbaiki dan memulihkan semula kepercayaan serta keyakinan semua pihak terhadap isu keselamatan yang sedang dialami hari ini,” ujarnya.
Beliau menyarankan agar satu garis masa yang jelas ditetapkan oleh kementerian untuk menyelesaikan isu-isu ini termasuk mengambil tindakan drastik seperti penempatan anggota polis sepenuh masa di sekolah-sekolah berisiko tinggi.
“Perlu tetapkan garis masa yang jelas dan jangka masa pendek bagi langkah penyelesaian misalnya apa tindakan kementerian dalam tempoh-tempoh tertentu.
“Selain itu, langkah drastik yang boleh dilaksanakan, pihak polis boleh ambil alih kawalan keselamatan sekolah dengan menempatkan anggota sepenuh masa di sekolah-sekolah berisiko tinggi, tangguhkan semula kawalan oleh pengawal keselamatan swasta.
“Kegerunan, hormat pada kawalan polis oleh pelajar akan semakin meredakan isu serius ini di sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab mendidik dan memantau anak-anak bukanlah tugas guru semata-mata, tetapi perlu dipikul bersama oleh ibu bapa dan masyarakat.
“Jangan lepaskan anak-anak kepada guru di sekolah sepenuhnya. Ibu bapa jangan buat guru tertekan dengan asyik bertanya di group WhatsApp kelas sahaja tetapi bertindak buat lawatan mengejut ke sekolah secara rutin untuk jenguk anak-anak.
“Ia supaya pelajar di sekolah takut serta khuatir bahawa kelakuan mereka akan diperhati oleh ibu bapa sepanjang masa,” jelasnya. – The Merdeka Times.