Terkini
KPM digesa siasat pesta arak dalam sekolah – Ahli parlimen
- Dalam kenyataan semasa sesi perbahasan Parlimen, beliau menyifatkan kejadian yang berlaku pada malam 27 September 2025 dan dihadiri kira-kira 800 alumni itu sebagai amat dikesali serta bertentangan dengan nilai agama, etika dan moral pendidikan.
- “Tindakan seperti ini mencipta duluan (precedent) yang berbahaya dan mencemarkan imej institusi pendidikan,” – Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib, menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan segera dan tegas terhadap penganjuran Annual Reunion Banquet 2025 ke-90 oleh bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael, Ipoh, yang dikatakan dicemari dengan hidangan minuman https://www.facebook.com/share/p/17EPpcX3md/keras dalam kawasan sekolah.
Dalam kenyataan semasa sesi perbahasan Parlimen, beliau menyifatkan kejadian yang berlaku pada malam 27 September 2025 dan dihadiri kira-kira 800 alumni itu sebagai amat dikesali serta bertentangan dengan nilai agama, etika dan moral pendidikan.
“Sekolah sepatutnya menjadi medan pembentukan sahsiah, moral dan keilmuan, bukan tempat untuk aktiviti yang bertentangan dengan nilai agama dan pendidikan,” tegas beliau.
Ismi menegaskan bahawa pihak pentadbiran sekolah tidak seharusnya dengan mudah memberi kebenaran atau membiarkan mana-mana aktiviti dalam kawasan sekolah yang melibatkan minuman keras, terutama apabila sekolah tersebut mempunyai jumlah guru dan murid Islam yang signifikan.
“Tindakan seperti ini mencipta duluan (precedent) yang berbahaya dan mencemarkan imej institusi pendidikan,” katanya.
Beliau turut merujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3 Tahun 2018, yang antara lain melarang sekolah menerima sebarang sumbangan daripada syarikat pengeluar minuman keras, rokok atau perjudian.
Katanya, dasar itu turut disokong keputusan Kabinet yang mengekalkan larangan sebarang aktiviti atau promosi minuman keras di premis sekolah.
Sehubungan itu, beliau mendesak KPM untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap penganjuran majlis tersebut serta mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana pihak pentadbiran sekolah yang melanggar garis panduan atau dasar sedia ada.
YB Ismi turut mencadangkan agar KPM menyemak semula dan memperketat garis panduan penggunaan fasiliti sekolah bagi mengelak sebarang aktiviti yang bercanggah dengan nilai moral dan sensitiviti agama, termasuk yang berkaitan dengan arak, rokok dan judi.
Beliau dalam masa sama menyeru semua persatuan bekas pelajar (alumni) agar lebih peka terhadap sensitiviti agama dan budaya masyarakat setempat serta mematuhi peraturan yang ditetapkan apabila menggunakan premis sekolah bagi sebarang aktiviti.
“Kementerian Pendidikan perlu menyatakan pendirian tegas bahawa premis sekolah tidak boleh dijadikan tempat pesta arak atau aktiviti yang bercanggah dengan dasar pendidikan negara. Sekolah harus kekal menjadi tempat mulia untuk mendidik generasi masa depan,” ujarnya.-The Merdeka Times