Terkini
KPM tolak rotan, PSIMA sokong pendekatan baharu bentuk disiplin dalaman pelajar
- Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali, berkata langkah itu bukan sahaja lebih berkesan membentuk sahsiah pelajar, malah sejajar dengan teori pembelajaran sosial yang menekankan pembentukan tingkah laku melalui peniruan model positif.
- “Kajian psikologi menunjukkan bahawa kanak-kanak lebih cenderung meniru tingkah laku yang ditunjukkan oleh orang dewasa, termasuk guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat. Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura menjelaskan bahawa pelajar membentuk tingkah laku melalui pemerhatian terhadap model yang berdisiplin, berakhlak dan menunjukkan empati. Apabila guru menunjukkan teladan positif secara konsisten, pelajar lebih terdorong meniru nilai murni tersebut berbanding apabila mereka dikawal melalui hukuman fizikal semata-mata,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
KUALA LUMPUR – Pendekatan baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menolak penggunaan rotan sebagai bentuk hukuman, sebaliknya menekankan pendidikan berasaskan nilai, adab dan pembangunan karakter, disifatkan sebagai langkah progresif yang selari dengan prinsip psikologi perkembangan dan pendidikan moden.
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali, berkata langkah itu bukan sahaja lebih berkesan membentuk sahsiah pelajar, malah sejajar dengan teori pembelajaran sosial yang menekankan pembentukan tingkah laku melalui peniruan model positif.
“Kajian psikologi menunjukkan bahawa kanak-kanak lebih cenderung meniru tingkah laku yang ditunjukkan oleh orang dewasa, termasuk guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat.
“Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura menjelaskan bahawa pelajar membentuk tingkah laku melalui pemerhatian terhadap model yang berdisiplin, berakhlak dan menunjukkan empati.
“Apabila guru menunjukkan teladan positif secara konsisten, pelajar lebih terdorong meniru nilai murni tersebut berbanding apabila mereka dikawal melalui hukuman fizikal semata-mata,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Menurut Dr Shazli, daripada perspektif psikologi pendidikan, pendekatan disiplin yang berkesan tidak berasaskan ketakutan atau hukuman fizikal, tetapi kepada pemulihan, refleksi dan tanggungjawab kendiri.
“Kesemua pendekatan ini bertujuan membina disiplin dalaman (internalized discipline), bukan ketakutan luaran terhadap hukuman,” tegasnya.
Menjelas lanjut, beliau berkata isu disiplin pelajar tidak harus dilihat semata-mata dalam konteks “perlu dihukum atau tidak”, sebaliknya sebagai proses pembinaan karakter dan kemahiran hidup jangka Panjang.
“Rotan mungkin memberi kesan segera, tetapi ia gagal membina kefahaman dan tanggungjawab dalaman pelajar.
“Sebaliknya, sistem menyeluruh yang melibatkan guru sebagai model teladan, ibu bapa sebagai rakan strategik, serta kaunselor dan psikologis dalam memperkukuh kemahiran emosi akan melahirkan pelajar yang berakhlak tinggi secara sukarela,” katanya.
Beliau menambah, seiring dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju, pendekatan terhadap disiplin pelajar juga perlu berevolusi daripada kawalan luaran seperti rotan kepada kesedaran dan tanggungjawab kendiri. Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia menegaskan pendirian untuk tidak menggunakan rotan sebagai alat mendidik murid, sebaliknya memperkukuh pendekatan pendidikan berasaskan nilai, adab dan pembangunan karakter.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata KPM berhasrat membentuk generasi beradab dan berakhlak tinggi melalui bimbingan serta teladan, bukan melalui hukuman fizikal.
“Negara-negara maju telah membuktikan bahawa sistem pendidikan tanpa rotan masih mampu melahirkan generasi berdisiplin dan beretika,” katanya.-The Merdeka Times