Connect with us

Terkini

Isu hidangan arak: ‘Agong perlu campur tangan nasihati PM pecat Tiong King Sing’

Published

on

Foto: Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa
  • Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan menteri terbabit yang didakwa mempromosikan arak dalam satu majlis rasmi kerajaan bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi gagal mematuhi sumpah jawatan serta tidak menghormati Raja-Raja Melayu.
  • “Saya tegaskan bahawa majlis raja-raja Melayu dan juga Agong mesti menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana salah seorang ahli kabinetnya iaitu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, adalah perkenan lantikan Agong,” katanya.
  • Jelasnya, Islam merupakan agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan, dan dilindungi oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dilantik dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

PUTRAJAYA – Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa menggesa Yang di-Pertuan Agong supaya segera menasihati Perdana Menteri agar mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletakkan jawatannya susulan kontroversi hidangan arak.

Menurut Mohd Zai, tindakan menteri terbabit yang didakwa mempromosikan arak dalam satu majlis rasmi kerajaan bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi gagal mematuhi sumpah jawatan serta tidak menghormati Raja-Raja Melayu.

Jelasnya, Islam merupakan agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan, dan dilindungi oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dilantik dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Saya tegaskan bahawa majlis raja-raja Melayu dan juga Agong mesti menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana salah seorang ahli kabinetnya iaitu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, adalah perkenan lantikan Agong

“Tanggungjawab beliau adalah menjaga perkara-perkara rasmi dalam negara ini iaitu arak adalah dilarang dalam majlis rasmi keraian negara ini dan juga penjawat awam.

“Jadi saya nampak beliau (King Sing) tidak faham di atas sumpah jawatannya untuk menjaga perkara-perkara dalam sumpah jawatan dan sebab itu kita tuntut beliau letak jawatan atau majlis Raja-Raja mengadakan satu mesyuarat menasihati Agong dan Agong menasihati Perdana Menteri supaya menteri ini dipecat ataupun letak jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas serahan memorandum desak Datuk Seri Tiong King Sing letak jawatan di perkarangan pintu masuk MOTAC hari ini.

Jelas Mohd Zai, Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan penting dalam memastikan Islam sebagai agama Persekutuan dihormati.

Mengulas lanjut beliau berkata, majlis rasmi kerajaan seharusnya mencerminkan identiti dan jati diri negara yang meletakkan Islam di tempat yang tinggi, bukan mempromosikan perkara bertentangan dengan prinsip agama, apatah lagi secara terbuka.

“Perbuatan ini bukan sahaja melanggar perkeliling rasmi kerajaan yang melarang hidangan arak dalam majlis keraian rasmi, malah mencemarkan maruah pentadbiran negara yang berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Jika iklan arak pun tidak dibenarkan di televisyen dan papan iklan umum, bagaimana mungkin arak dihidangkan secara terbuka dalam majlis rasmi kerajaan. Ini satu contoh pelanggaran peraturan yang sangat serius berkaitan negara kita,” tegas beliau.

Terdahulu tular satu rakaman video yang memaparkan tetamu majlis rasmi kerajaan dihidangkan arak sekali gus mengundang kemarahan umum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi amaran keras kepada King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.

Dalam pada itu, King Sing ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis mengakui kesilapan beliau dan menzahirkan kekesalan berhubung kontroversi menghidangkan minuman beralkohol pada majlis itu sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author