Connect with us

Terkini

LAPORAN KHAS : Bahasa Melayu hilang takhta, Budaya Melayu hilang arah

Published

on

Foto: Tan Sri Dr Rais Yatim
  • Menurut Tan Sri Dr Rais Yatim, generasi masa kini sudah semakin jauh daripada cara hidup Melayu yang berteraskan budi bahasa, kesantunan dan kesopanan. Ungkapan-ungkapan lama yang sarat makna seperti bahasa menunjukkan bangsa dan “hidup adat, hidup budaya” semakin tidak difahami, malah dianggap asing.
  • “Budaya Melayu dahulu menekankan budi bahasa, kesetiaan, kerajinan, dan nilai kerja kuat, justeru, semua ini kini semakin luntur. Lagu-lagu rakyat dan peribahasa yang menyelitkan nilai kerja keras dan hormat sesama manusia, kini tidak lagi dihayati.
  • Jelas Rais, bahasa Melayu adalah wadah kepada segala nilai budaya bangsa, meletakkannya pada takhta tertinggi bukan soal nostalgia, tetapi soal kelangsungan identiti nasional.

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi merupakan nadi kepada jatidiri, warisan dan tamadun bangsa Melayu. Namun, dalam arus globalisasi dan kecelaruan sistem pendidikan hari ini, bahasa ini semakin terpinggir dari takhta keagungannya yang dahulu.

Isu ini semakin meruncing apabila generasi muda kini bukan sahaja gagal menggunakan Bahasa Melayu dengan betul, malah tidak lagi menghayati nilai, falsafah dan adat budaya yang terkandung dalam bahasanya.

Dalam temuramah eksklusif bersama The Merdeka Times, Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menjelaskan bahasa adalah budaya, dan budaya adalah kehidupan yang bernilai tinggi, di samping menyuarakan kebimbangan terhadap kelunturan nilai Melayu, bukan sekadar dalam bahasa, tetapi dalam segenap aspek kehidupan harian.

 

Budaya Terhakis, Bahasa Terus Tercicir

Menurut Rais, generasi masa kini sudah semakin jauh daripada cara hidup Melayu yang berteraskan budi bahasa, kesantunan dan kesopanan. Ungkapan-ungkapan lama yang sarat makna seperti bahasa menunjukkan bangsa dan “hidup adat, hidup budaya” semakin tidak difahami, malah dianggap asing.

“Antara faktor utama adalah sistem pendidikan negara yang dikatakan tidak memberikan penekanan cukup terhadap aspek kebudayaan. Kelas sivik sahaja tidak memadai tiada sistem menyeluruh yang mengintegrasikan nilai budaya dalam disiplin harian murid.

“Sebagai contoh, di negara seperti Jepun dan Korea Selatan, nilai disiplin, kebersihan, dan hormat kepada orang tua ditanam sejak kecil melalui amalan harian di sekolah. Susun kasut, jaga kebersihan, hormat guru semua itu dianggap sebagai budaya hidup, bukan sekadar peraturan.

Sebaliknya di Malaysia, perlakuan harian pelajar di sekolah menggambarkan kekurangan dalam pembentukan jati diri, tandas sekolah kotor, disiplin merosot, budaya buli semakin menjadi-jadi semua ini manifestasi kepada hilangnya budaya tinggi dalam pendidikan.

Kita Hilang Pegangan, Bukan Anak Muda Sahaja Bersalah

Tambah Rais, teguran keras turut diberikan kepada generasi dewasa yang gagal menjadi teladan.

Menurutnya, ramai orang tua kini sudah tiada pegangan hidup yang jelas, menjadikan mereka tidak mampu membimbing generasi baharu kepada jalan budaya yang mulia.

“Kita tidak boleh menyalahkan anak muda semata-mata. Orang tua pun sudah hilang arah. Kalau tiada contoh yang baik, bagaimana anak-anak hendak meniru,”

“Budaya Melayu dahulu menekankan budi bahasa, kesetiaan, kerajinan, dan nilai kerja kuat, justeru, semua ini kini semakin luntur. Lagu-lagu rakyat dan peribahasa yang menyelitkan nilai kerja keras dan hormat sesama manusia, kini tidak lagi dihayati.

Langkah Pemulihan: Kukuhkan Pendidikan dan Kebudayaan

Tan Sri Rais Yatim mencadangkan dua langkah utama untuk memulihkan semula takhta budaya dan bahasa Melayu.

“Kementerian Pendidikan perlu mengarusperdanakan budaya dalam kurikulum. Budaya bukan sekadar subjek, tetapi perlu menjadi sistem harian dari kebersihan diri hingga hormat guru.

“Pelajar diajar semula makna adat, falsafah Melayu melalui pantun, peribahasa dan aktiviti warisan seperti silat,” ujarnya.

Tambah beliau, Kementerian Kebudayaan perlu diwujudkan secara khusus dan berdiri sendiri.

“Peranan kementerian ini bukan sekadar menjaga seni dan warisan, tetapi menjadi agensi penggerak nilai budaya tinggi dalam semua aspek kehidupan rakyat,” katanya.

 

Bahasa Melayu Wajar Diletakkan di Takhta Tertinggi

Jelas Rais, bahasa Melayu adalah wadah kepada segala nilai budaya bangsa, meletakkannya pada takhta tertinggi bukan soal nostalgia, tetapi soal kelangsungan identiti nasional.

Kata beliau, jika tidak diangkat semula, bangsa Melayu mungkin tidak lagi dikenali melalui bahasanya, budayanya mahupun adatnya hanya tinggal agama yang membezakan.

“Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi, ia adalah nadi tamadun. Jika kita gagal menjaganya, maka lenyaplah roh bangsa kita sendiri.

Dalam dunia serba moden ini, masih belum terlambat untuk membetulkan hala tuju. Pengembalian martabat Bahasa Melayu dan budaya tinggi bukan tugas satu pihak, tetapi tanggungjawab bersama iaitu pendidik, ibu bapa, kerajaan, dan masyarakat,” tegasnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author